Siri Master TV Dilancarkan Oleh Xiaomi – 65-Inci 4K 120Hz, OLED & MIUI for TV

Siri Master TV Dilancarkan Oleh Xiaomi – 65-Inci 4K 120Hz, OLED & MIUI for TV

Diterbitkan pada July 3, 2020 oleh .

Selepas pelbagai variasi televisyen Xiaomi lancarkan, akhirnya mereka bersedia ke arah pasaran yang lebih premium dan mewah. Dengan keyakinan yang mereka ada dari jualan televisyen-televisyen mereka, kini mereka hadir dengan siri baru iaitu Mi Master TV. Ia adalah siri televisyen pintar mewah dan premium dari Xiaomi.

Model pertama yang mereka lancarkan menggunakan skrin bersaiz 65-inci dan menjalankan sistem operasi MIUI for TV dan bukan lagi Patchwall OS. TV ini menggunakan panel 10-bit, 4K OLED dengan kadar segar semula 120Hz, MEMC, 98.5% gamut warna DCI-P3, 1000000:1 nisbah kontras, kecerahan sehingga 1000 nits, HDR10+, Dolby Vision, 1ms masa tindak balas, dan 98.8% nisbah skrin-ke-badan. TV ini dijana dengan cip MediaTek MTK9650 yang dipadankan dengan GPU Mali-G52 dan memori 3GB RAM dan 32GB storan dalaman.

Sistem audio menggunakan pembesar suara 65W iaitu dari 2 × 12.5W saluran kiri/kanan + 2 × 10W saluran menyeluruh + 20W 50Hz subwoofer dengan frekuensi ultra rendah. Sudah semestinya, sebagai sebuah TV mewah, ia turut menyokong sistem audio hebat dari DTS Audio, Dolby Audio, dan Dolby Atmos 2.1.2. Untuk seruan pembantu digital, terdapat 4 mikrofon terbina, sambungan Internet adalah melalui dwi-band WiFi 5 dan Bluetooth 5.0. Untuk port sambungan, terdapat 3x HDMI, 2x USB-A, S/PDIF, optikal, LAN dna antena.

Menambah lagi ciri premium pada TV ini adalah dengan kaki yang dibina dari kaca, sokongan RGB untuk peminat permainan video, mod permainan video, DC Dimming, dan yang lain daripada yang lain – sokongan Always On Display. Harga jualan televisyen ini adalah RMB 12,999, iaitu sekitar RM7887.



TIPS & ULASAN