Google Meet, Microsoft Teams dan Zoom adalah tiga daripada perisian telesidang yang digunakan oleh ramai individu dan syarikat di seluruh dunia.
Terkini, satu pencabar baru di ruang telesidang telah mula diperkenalkan, dan ia adalah JioMeet. Perisian telesidang terbaru ini dibangunkan oleh Reliance Jio, syarikat teknologi dan telekomunikasi nombor satu di India.
Antaramuka JioMeet dilihat serupa dengan rekaan Zoom, dan dibina menggunakan teknologi yang sama yang digunakan pada Google Meet.
Apa yang membuatkan JioMeet jauh lebih menarik berbanding kedua-dua perisian ini ialah JioMeet tidak mempunyai sebarang had masa untuk digunakan, dan boleh menampung 100 pengguna didalam satu sidang video.
Dalam pada itu ia juga hadir dengan ciri-ciri keselamatan seperti penetapan kata laluan, log masuk pelbagai peranti, perkongsian skrin dan kebolehan kolaborasi dokumen antara pengguna, semua untuk percuma.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perisian telesidang terbaru ini, anda boleh melihat dan mengujinya di laman web JioMeet.
Ia juga boleh dimuat-turun melalui Apple App Store dan juga Android Play Store.