Terdapat banyak insiden dilaporkan di media mengenai kemalangan yang berlaku apabila pemandu tersalah menekan pedal minyak sedangkan mereka ingin menekan pedal brek. Insiden seperti ini kerap berlaku di kalangan warga emas. Akibatnya kenderaan terjatuh dari kawasan letak kereta dan melanggar kedai. Jalan penyelesaian kepada masalah ini bagi Toyota ialah pengenalan sistem penghalang pecutan (Acceleration Supression System).
Sistem penghalang pecutan ini adalah sebahagian pakej yang diperkenalkan pada model terkini Toyota Prius dan Prius PHV. Ia adalah penambahbaikan kepada Pedal Misapplication Acceleration Control System (PMACS) yang diperkenalkan sejak 2018. Sistem akan mengesan sekiranya pedal minyak ditekan dengan kuat dan secara berkali-kali. Apabila ini berlaku kenderaan tidak akan memecut dengan pantas dan halaju dikekalkan. Sebelum ini PMACS hanya memberikan amaran bunyi untuk melepaskan kaki dari pedal minyak tetapi kenderaan masih akan memecut.
Sistem ini akan hanya dimatikan apabila kenderaan mengesan ia sedang mendaki bukit, selepas lebih dua saat brek ditekan dan apabila lampu isyarat kereta diaktifkan. Selepas Prius dan Prius PHV, sistem ini akan diperkenalkan kepada lebih banyak model keluaran Toyota di masa hadapan.