Carian
Dakwat-Bio Membolehkan Organ Cetakan 3D Digunakan Dengan Lebih Selamat
July 6, 2020 Fahim Zahar

Pesakit-pesakit kritikal seperti jantung, hati atau organ-organ lain memerlukan organ baru yang sihat agar pesakit kembali pulih. Menjadikan masalah adalah, tempoh untuk nantikan organ yang didermakan lama dan pesakit mungkin tidak mempunyai jangka hayat panjang untuk menantikannya. Bukan itu sahaja, mereka yang bergantung kepada penderma organ perlu tunggu giliran. Alternatif kepada isu ini adalah melalui cetakan organ 3D.

Cuma, organ 3D yang dicetak memerlukan proses pembedahan yang serius dan memberikan risiko kepada pesakit. Ini kerana dakwat 3D yang digunakan adalah toksik dan melambatkan tempoh untuk pesakit sembuh. Selain itu, dakwat-bio yang sedia ada di pasaran sekarang memerlukan cahaya ultraviolet yang mana turut boleh membahayakan pesakit dan amat sukar untuk disambungkan dengan tisu-tisu atau organ hidup. Terkini, terdapat dakwat-bio baharu yang sedang dikaji yang dapat membaiki segala masalah yang ada.

Dakwat-Bio baharu ini dicetak pada suhu yang sama dalam tubuh manusia. Bukan itu sahaja, dakwat ini juga diperbuat daripada tisu-tisu hidup di dalam bahan seakan agar-agar. Kemudian dengan menggunakan mesin cetakan khas bersama-sama dengan robot khas, organ 3D ini boleh dicetak terus ke dalam tubuh manusia. Pembedahan yang perlu dilakukan pula adalah dengan membuat insisi yang kecil dan tidak merbahaya. Walau bagaimanapun, cetakan ini menurut kajian bukannya mencetak keseluruhan organ yang berkaitan dan hanya menyasarkan cetakan sebahagian bagi membantu tisu-tisu pada organ yang rosak lebih cepat pulih.

Ujian dalam kajian ini dilakukan menggunakan tisu-tisu dari tikus dan kemudian dicetak pada isi ayam mentah. Selama 21 hari, organ yang dicetak ini dilihat 77% berada dalam keadaan baik. Cara “memasang” organ 3D ini pula adalah dengan teknik seakan mengokot (stapler) yang biasa digunakan oleh para pembedah, cuma bahannya adalah dari jenis yang lebih fleksibel. Sasaran para pengkaji ini adalah mempunyai laporan penuh berserta keputusan pada penghujung tahun, tetapi masih tidak pasti jika ia akan dibenarkan untuk digunakan pada manusia. Apa-apa pun, ini adalah satu perkara baik untuk dunia sains, kerana kelak di masa hadapan – tiada lagi isu perlu menunggu tempoh lama untuk mendapatkan organ baru.

Komen