Ulasan Asus VivoBook S15 (S533F) – Moden, Berkuasa & Premium

Ulasan Asus VivoBook S15 (S533F) – Moden, Berkuasa & Premium

Diterbitkan pada July 7, 2020 oleh .

Asus VivoBook adalah siri komputer riba memfokuskan produktiviti dari Asus yang menyasarkan untuk semua orang. Tidak kira untuk kegunaan di rumah, pelajar, para guru atau juga mereka yang inginkan komputer riba berkuasa pada harga lebih murah dari ZenBook atau juga ExpertBook. Dalam VivoBook ini juga ada banyak lagi model-model mereka dan yang terkini berada di pasaran adalah VivoBook S14 dan S15. Salah satu model mempunyai variasi AMD Ryzen manakala ada model terhad dengan Intel sahaja.

Terkini di dalam tangan saya ini adalah Asus VivoBook S15 edisi 2020. Ia adalah versi kemaskini dari model tahun lepas dengan cip Intel generasi terkini. Binaan premium digunakan, ada SSD, USB-C juga disertakan dan YouTube tiada masalah memainkan video 4K. Cuma, dengan tanda harga melebihi RM3000 adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Ini adalah artikel ulasan saya yang mana saya telah menjadikan komputer riba ini sebagai komputer riba harian. Ia memberikan satu pengalaman yang baik, cuma adakah ia benar sesuai untuk semua orang? Mari baca sehingga ke penghujungnya.


Spesifikasi

Asus VivoBook S15 (S533F)
Skrin 15.6″ NanoEdge LED_backlit FHD 16:9
178-darjah sudut pandangan lebar
IPS, LCD, bezel nipis
Pemproses Intel Core 10th i5-10210U
Grafik NVIDIA MX250
RAM 8 Gigabyte DDR4
Muatan Dalaman 512GB SSD Intel Optane
Kamera HD
I/O 1x USB 3.1 Jenis A
1x USB 3.1 Jenis C
2x USB-A 2.0
1x HDMI 1.4
1x port bicu audio 3.5mm
1x pembaca kad microSD
HDMI Ada
Pembaca Kad MicroSD
Sekuriti Tiada (Asas Windows sahaja)
SIM Tiada
Bateri 50Wh + Pengecas pantas 65W
60% 49 minit
Harga Jualan RM3,199

Asus VivoBook S15 menggunakan skrin bersaiz besar 15.6-inci dari panel IPS LCD. Panel ini adalah jenis LED-backlit dengan resolusi FHD dan menggunakan nisbah 16:9. Asus menggelar nama panel skrin mereka ini sebagai NanoEdge kerana penggunaan bezel nipis. Tetapi hakikatnya, bezelnya tidak nipis mana dan boleh dikatakan adalah saiz yang moden. Masih banyak lagi komputer riba dengan bezel yang lebih nipis dan seksi, komputer riba ini bukan. Sungguhpun begitu, skrin VivoBook S15 ini boleh dikatakan baik sekali. Ia memberi satu pengalaman penggunaan yang baik, cuma ia tidak memuaskan. Walaupun Asus mendakwa ia mempunyai sudut pandangan lebar 178 darjah, yang mana benar – tetapi apabila berada di bawah cahaya matahari yang terik amat sukar untuk melihat. Dalam keadaan biasa, sengetkan komputer riba ini juga boleh sahaja lihat dari sisi dengan baik. Menonton video seperti di YouTube dan Netflix pada resolusi tinggi juga memuaskan.

Kemasan skrin ini menggunakan lapisan matte. Oleh yang demikian, ia sukar memantul cahaya berbanding dengan kemasan yang berkilat yang menangkap kotoran cap jari dan menyebabkan isu silau. Lain-lain, prestasi skrin VivoBook S15 ini adalah baik sahaja cuma ia tidak sesuai digunakan di luar dan hanya baik digunakan di dalam sahaja.

Pemproses yang digunakan adalah dari Intel dan yang terkini iaitu Skylake, Intel Core i5-10210U yang dipadankan dengan cip grafik NVIDIA GeForce MX250, memori 8GB RAM DDR4 dan storan dalaman SSD Intel Optane 512GB. Ia adalah satu padanan spesifikasi yang baik, memuaskan dan tidak akan memberikan sebarang masalah. Dalam penggunaan yang saya lakukan, tidak kira membuka tab yang banyak pada Microsoft Edge atau Firefox – ia tidak akan memberikan masalah yang serius. Membuatkan saya lebih terkejut adalah, ia tidak bunyi bising dan mempunyai isu memanas yang menjengkelkan.

Sedang bercakap mengenai prestasi ini, turut akan saya masukkan yang kerja-kerja pejabat yang saya lakukan seperti menaip, menyunting gambar dan video adalah lancar, pantas dan tidak sangka laju. Lengah masa hanya berlaku seketika sahaja, itu pun bukan berada di tahap yang menjengkelkan. Dalam pengalaman saya, i5 dan 8GB RAM biasanya tidak cukup baik. Jadi agak mengejutkan untuk komputer riba Asus ini memberikan pengalaman positif pada diri saya.

Komputer riba ini juga disasarkan untuk kerja-kerja produktiviti dan bukan permainan video. Seperti yang selalu saya katakan, ini tidak bermakna ia langsung tidak boleh bermain permainan video – cuma jangan harapkan prestasi yang hebat sahaja.

Untuk port I/O pada VivoBook S15 ini, ia mempunyai 1x USB 3.1 Jenis A, 1x USB 3.1 Jenis C, 2x USB-A 2.0, 1x HDMI 1.4, 1x port bicu audio 3.5mm dan 1x pembaca kad microSD. Untuk sekuriti, ia tiada sebarang pengimbas cap jari atau imbasan wajah untuk Windows Hello – jadi pengguna terpaksa bergantung kepada Dynamic Lock atau pin dan kata laluan sahaja. Untuk bateri, ia menggunakan bateri 50Wh sahaja dengan sokongan pengecasan pantas 65W yang menjanjikan 60% dalam masa 49 minit. Cuma, pengecas yang digunakan adalah yang lapuk berbentul silinder dan bukannya USB-C.

Rekaan

Seperti VivoBook sebelum ini, ia mempunyai beberapa pilihan warna menarik seperti Indie Black, Gaia Green, Resolute Red dan Dreamy White. Ia dibina dari aluminium yang mana menjadikan sebuah peranti yang ringan dan mudah di bawa ke mana sahaja walaupun bersaiz besar. Unit yang saya terima ini adalah berwarna Gaia Green. Ia menggunakan kemasan matte yang menarik dan cantik. Tetapi ia mudah menangkap kotoran cap jari dan mudah calar. Warna hijau ini hanya pada panel skrin sahaja, di dalam dan bawah semua adakah berwarna perak aluminium.

Buka sahaja skrin, papan kekunci akan terdedah dan benda paling menyerlah sekali adalah kekunci enter yang mempunyai lingkaran berwarna hijau neon atau kekuningan yang sangat cerah. Di bawah space bar ada pad sesentuh yang kecil dan keliling bahagian bawah komputer riba ini adalah kemasan serongan yang menjadikan ia sedikit premium. Di bahagian bawah akan kelihatan kekisi pembesar suara dan juga kekisi untuk pengaliran haba.

Di sisi kirinya terdapat HDMI, USB-Aa, USB-C dn juga bicu audio. Manakala pada bahagian kanan pula adalah 2x USB-A, pembaca kad microSD dan juga dua lampu LED. Rekaan VivoBook S15 ini adalah rekaan asas untuk sebuah komputer riba biasa dengan sedikit elemen rekaan moden.

Penanda Aras

Untuk ujian penanda aras, seperti biasa komputer riba produktiviti atau ultrabook kami akan gunakan PCMark10 dan ujian SSD menggunakan CrystalDiskMark sahaja. Skor penanda aras yang diterima adalah jauh dari sangkaan saya tetapi saya sendiri tidak mempunyai jangkaan yang tinggi. Saya tahu ia akan rendah tetapi tidak pasti akan serendah ini untuk PCMark10. Mungkin kerana 8GB RAM atau mungkin kerana ada perisian berjalan di latar. Tetapi apa yang pasti, skor ini hanyalah nombor dan pengalaman penggunaan sebenar lebih penting.

PCMark10 menerima skor 3779. Manakala ujian SSD adalah mengejutkan, kerana agak pantas untuk kelasnya. SSD Intel Optane ini menerima skor bacaan sebanyak 2786.66 MB/s dan skor menulis sebanyak 1251.65 MB/s. Secara tidak langsung segala kerja-kerja pemasangan perisian, membuka atau memasang perisian adalah pantas.

Papan Kekunci & Pad Sesentuh

Saya jarang menggunakan komputer riba 15.6-inci atau yang bersaiz besar. Saya gemar menggunakan yang kompak, seperti 14-inci dan ke bawah sahaja. Saiz besar kebiasaannya, mempunyai papan kekunci dengan kekunci nombor seperti papan kekunci luaran penuh. Ini memerlukan memori mendaftar sesuatu yang baru dan mengambil masa untuk membiasakan diri. Ini kerana saiz papan kekunci penuh seperti VivoBook S15 ini masih dikira kompak, beberapa kekunci adalah terlampau kecil dan menjengkelkan. Bukan kerana tidak selesa untuk digunakan, tetapi jari kanan kerap tertekan beberapa kekunci lain yang ingin ditekan.

Apa-apa pun, menaip dengan papan kekunci ini baik sekali. Kekuncinya selesa ditekan, ada tindak balas yang baik dan memuaskan. Jika mereka buang sahaja kekunci nombor, pasti lebih selesa. Entah kenapa, saya kurang selesa dengan papan kekunci seperti ini. Saya tidak akan gunakan pun, pada saya jika inginkan kekunci nombor ini – baik gunakan PC dan bukannya komputer riba yang sasarannya adalah untuk di bawa ke mana sahaja. Itu adalah citarasa saya, tetapi saya tahu rama akan bersyukur dengan kehadiran kekunci ini.

Untuk pad sesentuh, ia lancar, pantas dan kawalan gestur amat mudah untuk digunakan. Tetapi ia kurang selesa, kerana terlampau kecil dan jika jari anda seperti saya yang mudah berpeluh – pad sesentuh ini akan kurang sensitif. Ini secara tidak langsung membuatkan saya terpaksa bergantung kepada tetikus walaupun hanya untuk tugasan yang ringan.

Kamera

Covid-19 walaupun sudah sedikit reda di Malaysia dan berada di fasa pemulihan, orang ramai masih perlu menjaga penjarakan sosial. Jadi kena kurangkan rapat-rapat dan bertemu dengan orang luar. Jadi, komputer riba dengan kamera web ini akan memudahkan orang ramai. Lagi-lagi mereka yang mempunyai kekasih atau yang tersayang di luar negara, kita perlu membuat panggilan video melalui Zoom, Google Meet atau juga Skype.

Ujian ringkas yang saya lakukan adalah sangat menyesal. Kualiti imej dan video adalah sangat teruk dan penuh dengan hingar. Ia seakan 3GP dan bukannya HD seperti yang didakwa. Mikrofon juga sukar menangkap suara saya dan adalah kurang sesuai untuk tujuan panggilan video jangka masa panjang. Setakat tanya khabar dalam 5 minit ke bawah mungkin sudah baik. Tetapi jika ingin menggunakan jangka masa panjang, lebih baik gunakan telefon pintar atau kamera web luaran.

Audio

Pembesar suara komputer riba ini adalah jenis di bawah. Ia menggunakan sistem stereo dengan pengoptimasian dari Harmon/Kardon. Di sebabkan lokasi pembesar suara di bawah, ia menjadikan hasil audio sedikit kedap dan sukar untuk memantul ke arah pengguna. Audio yang kedap menjadikan hasil bass kurang baik dan tidak cukup kuat. Tetapi kualitinya adalah baik sekali dan berada di luar jangkaan.

Mendengar muzik dan video di dalam bilik secara bersendirian adalah cukup baik. Tetapi jika di pejabat dengan suasana yang bising, ia sedikit sukar untuk didengari. Jelas di sini, jika tiada pengoptimasian Harmon/Kardon – pasti kualitinya adalah hambar.

Bateri

Asus VivoBoom S15 menyokong pengecasan pantas 65W dan mendakwa dalam masa 49 minit, aras bateri akan mencapai 60%. Ya, saya dapat mengesahkan dakwaan ini. Tempoh mengecas adalah cukup pantas dan baik sekali. Tetapi sayang sekali, port USB-C yang terbina tidak menyokong untuk kegunaan pengecasan dab terhad kepada pemindahan data atau aksesori sahaja. Jika tiada pengecasan USB-C, ia mengurangkan pengalaman penggunaan yang baik. Saya perlu membawa pengecas berat ini dan tidak boleh mengamalkan konsep satu kabel untuk semua.

Ketahanan bateri walau bagaimanapun adalah lemah sama sekali. Penggunaan ekstrem hanya memberikan ketahanan sekitar 5-6 jam sahaja. Ini adalah menjengkelkan lagi-lagi masa bekerja saya adalah 8 jam dan belum tamat kerja sudah perlu cas. Penggunaan ringan boleh memberi lebih 6 jam, tetapi kurang 7 jam. Jika ini adalah komputer riba permainan video saya faham, tetapi bukan. Penggunaan ekstrem saya pula hanyalah ujian tanda aras, menonton video, menyunting gambar dan menyunting video sedikit sahaja.

Ya benar, ada pengecasan pantas – tetapi ia tidak memadai. Ketahanan bateri ini dikria sebagai lemah sedangkan banyak komputer riba dalam kelas sama boleh mencapai sehingga 10 jam sekurang-kurangnya.

Ciri Tambahan

Komputer riba ini turut menyertakan sokongan WiFi 6 yang mana menjanjikan sambungan WiFi pantas berkali ganda. Tetapi disebabkan pejabat saya tiada sokongan WiFi 6, agak sukar untuk saya uji. Oh ya, menceriakan lagi pengguna komputer riba ini adalah Asus sediakan beberapa pelekat menarik untuk menghiasi badan peranti ini.

Kesimpulan

Saya tamatkan ulasan saya di sini, tetapi sebelum itu saya akan jelaskan kepada anda semua untuk siapakah komputer riba ini dan adakah ianya berbaloi untuk dimiliki? Mudah sahaja, komputer riba ini mempunyai skrin yang cantik dan baik jadi jika anda pengguna yang banyak habiskan masa di dalam rumah/pejabat ini adalah untuk anda. Prestasi juga lancar walaupun 8GB RAM sahaja, SSD juga cukup pantas dan memuaskan dan jika anda tidak hiraukan kamera web yang hodoh dan bateri yang tidak tahan lama – ia sangat memadai. Isu bateri boleh dimaafkan sebenarnya, kerana sokongan pengecasan pantas.

Rekaan yang moden, kelihatan premium dan spesifikasi asas yang sangat berkuasa. Harga jualan adalah RM3,199, yang mana ini adalah harga yang berbaloi untuk dimiliki. Ya, ada lagi murah lagi hebat seperti RedmiBook 14 yang dijana Ryzen 7-4700U – tetapi ia di China dan jika beli secara import akan ada isu waranti jika penjual tidak bertanggungjawab. Percayalah Asus VivoBook S15 ini pasti akan menggembirakan hati pengguna.

Bagi pelajar, pekerja pejabat atau para usahawan – untuk tugasan ringkas, rekaan, menaip komputer riba ini patut ada dalam senarai minat anda semua. Sedikit kecewa versi S15 ini tiada variasi Ryzen seperti S14 yang mana dijual pada harga lebih murah. Harapnya ulasan ini akan membantu anda membuat keputusan komputer riba mana patut anda beli.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Prestasi yang baik dan memuaskan.
  • Tiada isu memanas dan lengah masa yang menjengkelkan
  • Pembesar suara yang enak didengari
  • Rekaan anggun, seksi dan premium
  • Harga yang berbaloi
  • Kamera web dengan kualiti teruk
  • Pad sesentuh kecil
  • Papan kekunci sedikit tidak selesa
  • Kemasan yang mudah calar
  • Bateri tidak tahan lama


TIPS & ULASAN