Cari @ Amanz

Kebanyakan telefon pintar di pasaran sekarang menyokong codec H.265/HEVC yang menawarkan kualiti rakaman video yang tinggi tanpa menghasilkan saiz yang besar. Bagi mereka yang masih merasakan H.265 masih terlalu besar, masalah anda diselesaikan hari ini dengan pengumuman codec terkini H.266 Versatile Video Coding.

H.266 VVC diumumkan oleh he Fraunhofer Heinrich Hertz Institute yang sebelum ini turut terlibat dalam menghasilkan codec MP3 dan MPEG. Menerusi H.266 VVC saiz video 4K 90 minit dapat dikurangkan dari 10GB ke hanya 5GB bersamaan pengurangan saiz 50% tanpa kehilangan kualiti video.

Codec ini dibangunkan khusus untuk penstriman video pada resolusi 4K, 8K dan 360 darjah lengkap dengan sokongan HDR yang pastinya akan meningkat dalam masa terdekat. Seperti yang dapat dilihat semasa tempoh kuarantin, pentstriman video mengambil peratusan yang besar dalam penggunaan trafik internet sehingga terpaksa dikurangkan kualitinya oleh YouTube dan Netflix.

Walaupun telah diumumkan hari ini, penggunaannya secara besar-besaran akan memakan masa kerana H.265 sendiri baru diperkenalkan tiga tahun yang lalu dan hanya sekarang menjadi popular.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd