Kotak Penghantaran Bungkusan The Box Dilengkapi Kamera Dan GPS Untuk Penjejakan Masa Nyata

Kotak Penghantaran Bungkusan The Box Dilengkapi Kamera Dan GPS Untuk Penjejakan Masa Nyata

Diterbitkan pada July 8, 2020 oleh .

Semasa tempoh PKP yang lalu terdapat ramai merungut barangan yang dipesan menerusi kedai atas talian lambat tiba dan tidak dapat dikesan. Sebuah syarikat penghantaran barangan dicemuh kerana barang yang dipesan kemudiannya hilang sehingga menyebabkan kerugian kepada pekedai. Masalah ini mungkin dapat diselesaikan jika kotak The Box digunakan.

The Box ialah sebuah kotak penghantaran bungkusan pintar dengan kapasiti 32 liter yang bukan sahaja dilengkapi GPS dan sistem anti curi, ia juga dilengkapi kamera, pengesanan tekanan, suhu, kelembapan, cahaya, hentakan dan berat secara terbina. Kamera pada bahagian dalam kotak membolehkan keadaan barangan dipantau sepanjang masa.

Dengan The Box pengguna boleh mengesan lokasi bungkusan secara masa nyata. Mereka tidak lagi perlu bergantung kepada sistem penjejak yang digunakan oleh syarikat penghantaran bungkusan. Selain kesemua sistem pintar yang disenaraikan di atas, The Box juga mempunyai kerangka tahan lasak dengan bahagian luar yang diperbuat daripada busa.

Seperkara lagi The Box direka untuk digunakan berkali-kali sekaligus mengurangkan pembaziran kotak kadbod. Alamat penghantaran seterusnya boleh diubah kerana skrin e-ink pada bahagian luar boleh diubah menggunakan aplikasi telefon pintar. Apabila tidak digunakan ia boleh dilipat untuk menjimatkan ruang.

Pada waktu ini The Box akan ditawarkan sebagai sebuah perkhidmatan pada suku ketiga 2020 tetapi harga langganannya masih belum diketahui.



Paling Popular