Carian
Perkembangan Teknologi Samsung Pada Setiap Siri Galaxy Note Mereka
July 14, 2020 Syafia Hani

Hampir sedekad lepas pada 29 Oktober 2011, Samsung telah menggegarkan arena peranti pintar dengan memperkenalkan Samsung Galaxy Note kepada dunia. Pada waktu itu, kebanyakkan telefon pintar menggunakan skrin bersaiz 4 inci kebawah, tetapi Samsung dengan beraninya mencuba sesuatu yang lain iaitu dengan melancarkan telefon dengan skrin bersaiz 5.3 inci. Walaupun ia bukan peranti pertama untuk menggunakan skrin yang besar (pada waktu itu), terma “phablet” sering dikaitkan kepada peranti tersebut oleh kerana saiz skrinnya adalah diantara saiz telefon pintar dan saiz tablet. Samsung Galaxy Note juga dilengkapi dengan stylus untuk penulisan dan lakaran yang lebih jitu.

Kalau Samsung mengikuti kitaran produk biasa, Siri Galaxy Note yang terbaru dijangkan akan dilancarkan tidak lama lagi. Oleh itu, mari kita mengimbas kembali pada 10 siri Samsung Galaxy Note, dan melihat bagaimana ia telah berubah mengikut arus teknologi terkini.

Samsung Galaxy Note

Walaupun diberi kritikan berat oleh pelbagai pihak apabila telefon pintar ini dilancarkan dengan saiz skrin yang agak gergasi, ia telah laris terjual di seluruh dunia dengan penjualan lebih daripada 10 juta unit pada tahun pertama ia memasuki pasaran dunia. Ia dilengkapi dengan spesifikasi yang berkuasa pada masa itu seperti cip pemproses Exynos 4230, RAM 1GB, storan sehingga 32GB dengan sokongan NFC. Stylus Samsung yang dinamakan sebagai S-Pen pula dibina dengan ketahanan sensitiviti sehingga tahap 256 di mana apabila digunakan bersama kerangka premium yang direka khas untuknya, ia memberikan pengguna pengalaman penggunaan yang bagus. Skrin HD Super AMOLED dengan resolusi  1280 x 800 pixel yang digunakan pula memberi pengguna pengalaman tontonan mudah alih yang amat baik. 

Samsung Galaxy Note 2

Daripada jualan yang laris bagi siri Samsung Galaxy Note pertama, Samsung perlukan satu peranti yang lebih baik untuk melancarkan siri kedua. Samsung mengambil keputusan untuk mengeluarkan telefon dengan saiz skrin lebih besar iaitu 5.5 inci yang mengunakan nisbah skrin ke badan 16:9 – tidak seperti yang sebelumnya yang menggunakan 4:3. Mereka juga  menaik tarafkan spesifikasi dan menambah fungsi pada S-Pen yang juga telah mendapat kemaskini ketahanan sensitiviti kepada tahap 1024. Samsung juga memperkenalkan fungsi split screen untuk produktiviti dan Air View dimana S-Pen dapat dikesan atas skrin (untuk melihat kandungan dalam fail) walaupun tidak ditekan pada skrin itu lagi. Samsung berjaya untuk menarik perhatian ramai dan menjual lebih 5 juta unit dalam masa 2 bulan sahaja.

Samsung Galaxy Note 3

Sebagai pengganti Samsung Galaxy Note 2, Samsung Galaxy Note 3 juga telah munggunakan skrin lagi besar, yang kali ini bersaiz 5.7 inci dengan resolusi FHD. Untuk memberi peranti rasa lebih premium, mereka juga telah mengubah panel belakang untuk menggunakan plastik seakan kulit dengan efek jahitan sekelilingnya dan juga bezel seakan besi. Ia juga merupakan peranti Note yang pertama untuk menerima USB 3.0 dan kameranya pula dapat merakam video pada resolusi 4K. Sedikit kelainan adalah peranti ini menyertakan pemancar infra merah. Fungsi-fungsi baru untuk S-Pen seperti Air Command, Action Memo, Scrapbook dan Easy Clip juga diperkenalan pada peranti ini. Sekali lagi Samsung menunjuk kemampuan mereka untuk menghasilkan satu peranti mercu yang sangat baik dan sekaligus telah menjual lebih dari 10 juta unit dalam masa dua bulan.

Samsung Galaxy Note 4

Untuk Galaxy Note 4, Samsung mengambil keputusan untuk memfokuskan pada pekakasan dalaman peranti ini. Peranti mercu ini mengekalkan ukuran skrinnya dan juga tekstur rekaan belakang. Mereka juga telah menaik tarafkan skrin pada Super AMOLED 2.5D dengan resolusi WQHD iaitu 2560 x 1440 pixel. Kameranya pula mendapat sokongan OIS yang memberi rakaman video lebih stabil dan kamera hadapannya kali ini menyokong rakaman gambar sudut lebar. Selain itu, peranti ini adalah siri Note pertama yang menggunakan teknologi pegecasan pantas Adaptive Charging, menyokong untuk menyambung ke paparan HDMI dan mengimbas nadi serta mempunyai pengimbas cap jari terbina pada peranti.

Samsung Galaxy Note 5

Samsung Galaxy Note 5 mengekalkan saiz skin yang sama tetapi telah mengubahsuaikan rekaan yang kini menggunakan kaca pada bahagian hadapan dan rekaan belakang yang dikelilingi logam. Ramai telah memuji reka bentuk ini kerana ia seperti peranti paling premium dalam siri Note setakat itu. S-Pen pula kali ini hadir dengan rekaan spring untuk mengeluarkan dan menyimpan S-Pen daripada tempatnya dengan mudah dan mengesan 2,048 tahap tekanan. Samsung Galaxy Note 5 juga adalah peranti pertama di dunia yang menyokong pengecasan pantas nirwayar dan mampu mengecas peranti tersebut sepenuhnya dalam jangka masa 90 minit sahaja. 

Samsung Galaxy Note Fan Edition

Dari segi rupa, peranti ini amat menarik kerana apabila sekali pandang, ia kelihatan seperti tiada bezel di sisi. Ini merupakan peranti siri Note yang pertama menggunakan port USB-C dan mendapat pensijilan kemampuan kalis air IP68. Stylusnya pula telah dinaik tarafkan pada 4,096 tahap tekanan dan diberi kemampuan untuk menghasilkan GIF beranimasi. Pada dahi peranti ini juga terdapat pengimbasan iris sebagai salah satu cara untuk log masuk peranti yang lebih selamat.

Samsung Galaxy Note 8

Setelah sekian lama, Samsung sekali lagi menaikkan ukuran skrin mereka, daripada 5.7 inci pada Note sebelumnya kepada 6.3 inci Infinity Screen. Walaupun skrin jauh lagi besar, saiz fizikal peranti tidaklah membesar dengan drastik, malah kelebaran sebenarnya mengecil sedikit untuk mengekalkan kemudahan pengguna memegang telefon ini dengan sebelah tangan. Samsung telah mengecilkan dahi dan dagu peranti untuk menampung skrin bersaiz sebesar ini. Ini juga merupakan telefon pertama siri Note yang hadir dengan sistem dwi kamera yang mengunakan lensa sudut lebar dan telephoto zum optikal 2X. Selain itu, terdapat butang khas Bixby bagi memudahkan pengguna untuk memanggil pembantu maya mereka. Turut diperkenalkan adalah DeX Station dan DeX Pad yang memberi kemampuan Note 8 ini untuk berfungsi seakan komputer peribadi.

Samsung Galaxy Note 9

Samsung sekali lagi mengoptimasikan penggunaan skrin hadapan dengan memuatkan skrin 6.4 inci pada Note 9 dan mengecilkan lagi dahi dan dagu peranti.  Pada sistem kamera pula terdapat fungsi rakaman video malam yang lebih terang tanpa hingar. S-Pen pula kini mendapat sokongan Bluetooth dimana pengguna boleh menggunakan beberapa fungsi baru seperti menggunakan S-Pen sebagai alat kawalan mengambil gambar dan juga mengawal aplikasi muzik. Kali ini, penggunaan DeX tidak lagi memerlukan dermaga, hanya wayar USB-C ke HDMI sahaja.

Samsung Galaxy Note 10/Note 10+

Lain dari yang sebelumnya, pada tahun 2019 Samsung telah memperkenalkan dua versi Note iaitu Note 10 dan Note 10+ di Malaysia. Kedua-duanya hadir dengan skrin Dynamic AMOLED dengan kemampuan HDR10+, namun Note 10 menggunakan saiz 6.3 inci 1080p manakala Note 10+ menggunakan skrin gergasi 6.8 inci 1440p. Kedua-dua skrin ini bernisbah 19:9. Bilangan kamera belakang pula ditambah kepada 3 yang jenis lensa berbeza untuk Note 10 dan 4 untuk Note 10+. Pengimbas cap jari telah dibina dibawah skrin pada kedua-dua peranti, tetapi Note 10+ menyokong untuk pengguna mengecas secara nirwayar sehingga 45W. Untuk mengenali dengan lebih lanjut berkenaan peranti Note 10 dan 10+ ini, anda boleh mempelajarinya melalui video kami di sini.

Bonus

Samsung Galaxy Note 3 Neo

Untuk memenuhi permintaan orang ramai, Samsung telah mengeluarkan siri Note yang lebih mampu milik beberapa bulan selepas Galaxy Note 3 dilancarkan. Walaupun menggunakan spesifikasi pertengahan, peranti ini masih mempunyai S-Pen dengan sokongan fungsi yang sama.

Samsung Galaxy Note Edge

Dilancarkan pada waktu sama dengan Samsung Galaxy Note 4, Note Edge ini sedikit berlainan dimana pada sebelah kanan peranti mempunyai talam sisi (sidebar) untuk memaparkan pintasan aplikasi (shortcut), notifikasi dan selainnya. 

Samsung Galaxy Note 10 Lite

Sama seperti Note 3 Neo, Note 10 Lite diperkenalkan beberapa bulan selepas Note 10 dilancarkan sebagai alternatif kepada peminat Samsung untuk mendapatkan peranti yang lebih mampu milik.

Samsung kebiasaannya akan mengeluarkan siri Galaxy Note yang terbaru pada Ogos atau September pada setiap tahun. Jadi, apa yang boleh kita jangkakan untuk siri Galaxy Note tahun ini? Jika kita sering mengikuti perkembangan teknologi pada setiap model peranti Galaxy Note, besar kemungkinan model tahun ini dilengkapi dengan kebolehan 5G untuk semua variasi Galaxy Note (sekiranya mereka melancarkan lebih daripada satu variasi), penambahbaikan kamera dan cip pemprosesan terbaru. Tetapi, ini hanya satu jangkaan daripada pihak kami, dan hanya masa yang akan menentukannya. 

Penafian: Advertorial daripada Samsung Malaysia

Komen