Cari @ Amanz

Fakta menarik untuk anda hari ini. Ikan lumba-lumba hanya berjaya dipamerkan di akuarium pada tahun 1938 kerana sebelum ini kesemua usaha yang dilakukan untuk membuka dolphinarium menemui kegagalan. Dolphinarium menjadi semakin popular sekitar dekad 60an selepas siri filem dan TV Flipper mendapat sambutan orang ramai. Tetapi kini dolphinarium dipandang sebagai kekejaman ke atas haiwan yang sepatutnya hidup di lautan terbuka.

Edge Innovations ialah sebuah syarikat yang menghasilkan kesan khas untuk filem dan mereka berjaya menghasilkan robot ikan lumba-lumba yang bergerak seperti haiwan sebenar. Menarik sekali robot ini dibangunkan untuk sebuah akuarium di China selepas kerajaan negara tersebut menghalang kemasukan haiwan liar kerana Covid-19.

Robot yang dihasilkan sebesar 270 kilogram dan mampu berenang selama 10 jam sebelum dicaj semula. Menurut Roger Holzberg dam Walt Conti yang menciptanya, robot ini boleh beroperasi selama 10 tahun sebelum perlu diganti. Apabila berenang di dalam air, ia sukar dibezakan dari haiwan sebenar. Satu kekurangan robot ini sekarang ialah ia perlu dikawal oleh manusia sepanjang masa.

Kos untuk menghasilkan sebuah robot ialah di antara $40-60 juta (~RM171-257 juta) sebuah. Tetapi menurut Animatronic Entertainment Portfolio yang merealisasikan idea robot sebagai ganti haiwan sebenar, ia masih lebih murah berbanding kos menjaga seekor ikan lumba-lumba selama 10 tahun. Dengan wujudnya robot ikan lumba-lumba, era gelap haiwan dipenjara di akurium untuk hiburan manusia akan akhirnya berakhir.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd