Cari @ Amanz

Canon, sebuah jenama teknologi pengimejan yang cukup terkenal untuk siri kamera mereka hari ini telah mengumumkan ketibaan kamera nircermin terbaru mereka, Canon EOS R5.

Kamera tersebut ialah model terbaru didalam siri kamera nircermin EOS R, dan dilengkapi dengan pelbagai komponen dan ciri-ciri baru yang menjadikannya sebuah kamera yang cukup sesuai sekali untuk tujuan rakaman video dan gambar.

Ia mempunyai sensor bersaiz 45MP yang membolehkan pengguna untuk merakam video pada resolusi 8K dan ruang warna 12-bit pada format RAW untuk kualiti dan butiran yang cukup tinggi sekali.

Dari segi kemampuan mengambil gambar, kamera EOS R5 ini mampu mengambil gambar pada resolusi 45MP dan pada kadar 20 bingkai sesaat.

EOS R5 ini juga dipadankan dengan sistem autofokus Dual Pixel CMOS AF II terbaru yang mempunyai 1053 titik autofokus. Sistem ini menggabungkan pengesanan mata, muka dan kepala yang boleh mengesan pergerakan manusia dan haiwan tanpa masalah.

Ia juga dimuatkan dengan sebuah paparan OLED beresolusi tinggi dengan kadar segar semula 120FPS untuk mengesan pergerakan pantas. Paparan tersebut juga boleh dipusing keluar untuk mereka yang sering merakam video sendiri.

Dari segi kemampuan menangkap gambar dan video dalam keadaan gelap, tahap ISO kamera ini adalah didalam julat 100-51,200 dan boleh dilanjutkan ke 102,400 jika diperlukan.

Bagi menampung rakaman video beresolusi 8K ini, Canon EOS R5 ini turut dimuatkan dengan dua slot kad SD yang menyokong storan kad SD sepantas UHS-II.

Tanda harga kamera Canon EOS R5 ini ditetapkan pada $3899 untuk badan kamera sahaja, dan untuk kombinasi dengan lensa RF 24-105 F4 L IS USM, harganya ialah $4999. Kamera ini dijangka akan tiba untuk pasaran-pasaran terpilih pada penghujung bulan ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd