Dell XPS Desktop telah dikemaskini hari ini dengan komponen yang lebih terkini dan rekaan menara yang kini lebih kecil. Dari segi pilihan pemproses, XPS Desktop dilengkapi sehingga Intel Core i9-10900K, memori sehingga 128GB DDR4 2933 MHz, storan SSD 2TB M.2 PCIe NVME SSD dan storan HDD 2TB SATA 7200RPM.
Pilihan GPU pula ialah sehingga GeForce RTX 2070 Super untuk peminat kad NVIDIA dan Radeon RX 5700 XT untuk peminat kad AMD. Menara baharu kini mempunyai kapasiti hanya 19 Liter berbanding 24 Liter sebelum ini. Pada bahagian hadapan terdapat lubang udara yang lebih besar. Kesemua I/O pada bahagian hadapan diubah ke bawah sedikit dengan pilihan 1x USB 3.1 Type-A Gen 1, 1x USB 3.1 Type-C Gen 1, 1x pembaca kad dan 1x bicu audio 3.5mm.
Dengan komponen yang berkuasa ini, XPS Desktop boleh menjalan permainan komputer terkini pada tetapan tertinggi. Tetapi Dell turut mengesahkan XPS Desktop melepas piawaian NVIDIA RTX Studio yang memastikan ia sesuai juga digunakan untuk penghasilan kandungan kreatif seperti video. Dua versi XPS Desktop dilancarkan dalam warna hitam dan putih.
Di Malaysia XPS Desktop baharu akan ditawarkan pada harga bermula RM3499 tetapi dalam warna hitam sahaja bermula penghujung bulan ini.