Cari @ Amanz

Saya ialah insan yang memang tidak reti menjaga kebajikan peranti. Kesemua telefon pintar yang dibeli bercalar walaupun menggunakan kerangka tahan lasak. Jam tangan pula kalau dipakai akan punah dalam masa setahu kerana kerap berlanggar dengan dinding. Oleh itu sejak sedekad yang lalu apabila membeli jam tangan, saya memilih jenama Casio G-Shock kerana ia telah terbukti kalis manusia neanderthal seperti saya.

Tetapi di tahun 2020, jam tangan biasa seperti G-Shock tidak lagi memenuhi keperluan harian. Jam tangan pintar adalah lebih serasi dengan jiwa dan jam tangan yang menjadi piawaian emas saya ialah Samsung Gear S3. Ianya tahan lasak, ranggi dan hadir dengan pelbagai fungsi yang berguna. Selepas hampir empat tahun, Gear S3 yang dimiliki sudah mula menunjukkan usia. Maka apabila Amazfit T-Rex muncul di makmal Amanz, saya segera memilih untuk mengulasnya. Ini ialah ulasan untuk Amazfit T-Rex yang mungkin akan menjadi pengganti kepada Gear S3 yang telah lama saya nantikan.

Spesifikasi Dan Rekaan

Amazfit T-Rex
Skrin1.3″ AMOLED (360 x 360 Pixel)
PemprosesTidak Diketahui
RAMTidak Diketahui
StoranTiada
Kalis Air5 ATM
Bateri360 mAh
SIM/TelefoniTiada/ Tiada
SensorPengimbas Nadi, GPS,
Girometer, Accelerometer
NFCTiada

Secara lazimnya kesemua spesifikasi peranti pintar akan disenaraikan oleh pengeluar sejurus selepas ia dilancarkan. Tetapi kini kita di bulan Julai, enam bulan selepas T-Rex dilancarkan dan sebahagian besar spesifikasinya masih lagi misteri seperti kehilangan MH370.

Apa yang saya tahu ialah jam tangan dilengkapi skrin 1.3″ AMOLED berbentuk bulat dengan resolusi 360×360 pixel. Terdapat sokongan sesentuh secara terbina dengan kaca yang diperbuat daripada Gorilla Glass 3. Amazfit masih lagi menggunakan Gorilla Glass 3 yang berusia tujuh tahun. Majoriti jam tangan pintar di pasaran sekarang telah berubah ke Gorilla Glass DX+ yang lebih tahan lasak. Apakah cip pemproses dan RAM yang digunakan? Saya tidak tahu. Tiada storan dalaman disertakan dan bateri pula sebesar 390 mAh.

Sungguhpun sudah menjadi warga emas dalam dunia kaca tahan lasak, Gorilla Glass 3 masih lagi menawarkan kemampuan kalis calar dan retak yang baik. Beberapa kali juga saya secara tidak sengaja melanggar tombol pintu tetapi tiada kerosakan dapat dikesan. Yang lebih penting dari kemampuan kalis calar ialah skrin T-Rex mempunyai lapisan anti cap jari yang amat baik. Tiada masalah muka jam perlu dibersihkan setiap kali disentuh.

Bagi mengelakkan kaca dari lebih mudah calar, ia dilindungi oleh tubuh yang diperbuat daripada bahan getah, logam dan plastik. Ini ialah perkara pertama yang mengecewakan saya mengenai T-Rex. Dari gambar yang saya lihat ia kelihatan seperti diperbuat daripada bahan logam sepenuhnya tetapi di depan mata jam kelihatan pusam dan kurang premium. Oleh sebab itulah walaupun mempunyai tubuh yang lebih besar berbanding Gear S3, T-Rex adalah lebih ringan – 58 gram vs 63 gram.

Ini boleh dilihat positif ataupun negatif berbanding pada sudut pandangan peribadi. Ianya positif kerana T-Rex tidak terasa berat di pergelangan tangan terutamanya ketika bersukan dan bekerja. Saya secara lazimnya menanggalkan jam ketika di pejabat kerana ia memberatkan pergerakan ketika menaip. Dengan T-Rex ini tidak berlaku. Tubuh plastik dan getah juga menyerap hentakan lebih baik berbanding logam. Tiada keperluan untuk membeli kerangka tahan lasak seperti pengguna Apple Watch.

Dari sudut pandangan negatif pula T-Rex terasa seperti sebuah jam tangan mainan. Tidak terasa ataupun kelihatan premium. Seperti saya katakan di awal ulasan, saya adalah seorang pengguna Gear S3 yang kelihatan amat premium tetapi masih lagi tahan lasak. Satu perkara yang telah saya sedari ialah bezel jam yang diperbuat daripada plastik sudahpun tercalar selepas bergesel dengan dinding sekali. Prognosis masa panjang ketahanan T-Rex pada hemat saya mungkin tidak sebaik Gear S3.

Tali jam diperbuat daripada bahan silikon yang lembut. Ia membuatkannya boleh ditarik panjang tanpa putus. Pilihan bahan agak aneh kerana jam tangan pintar biasanya menggunakan tali jam yang lebih keras. Hanya sepasang tali jam disertakan yang direka untuk insan dengan pergelangan tangan yang besar.

Sungguhpun begitu terdapat banyak lubang pada tali jam yang disertakan bagi membolehkan ia dipakai oleh insan pelbagai saiz. Tetapi jika anda mempunyai pergelangan tangan yang kecil, T-Rex kelihatan terlalu besar sehingga canggung dipakai. Jelas sekali jam tangan pintar ini direka untuk mereka yang lebih maskulin.

Saya ada membaca ulasan lain yang mengatakan tali jam ini sangat selesa digunakan. Pengalaman peribadi saya adalah amat berbeza kerana tali jam adalah tidak sesuai dengan kulit sehingga menyebabkan kegatalan melampau. Oleh itu tiada jaminan kerengsaan kulit yang saya alami tidak akan berlaku pada anda. Untuk mengurangkan masalah ini saya terpaksa memakai losen untuk mengurangkan kegatalan.

Seterusnya izinkan saya bercakap mengenai butang fizikal pada sisi jam. Empat butang diberikan dengan setiap satunya diperbuat daripada bahan getah dengan kubah logam bertekstur kasar. Pengalaman menekan butang adalah sedikit lembek kerana terdapat ruang kosong antara kubah butang dan suis fizikal di bawahnya. Dalam bahasa Inggeris ia katakan sedikit squishy.

Dua butang pada sisi kiri digunakan untuk navigasi atas bawah dan dua butang pada sisi kana pula ialah untuk memilih serta butang back. Butang kawalan fizikal adalah amat perlu pada hemat saya kerana anda tidak mahu menggunakan skrin sesentuh ketika berpeluh atau berenang.

Ini menjurus kepada kemampuan T-Rex untuk bukan sahaja kalis air sehingga 50 meter tetapi juga tahan suhu di antara -40 hingga 70 darjah Celsius. Tidak berakhir di sini, T-Rex melepasi 12 ujian tahan lasak ketenteraan yang melayakkan ia melepasi piawaian MIL-STD 810G. Dengan piawaian ini saya tidak perlu risau jam akan mudah hancur berderai ketika melakukan aktiviti lasak.

Sensor yang disertakan ialah pengimbas nadi optikal, GPS, accelerometer dan cahaya. Ini membolehkan hampir kesemua aktiviti sukan dikesan dengan mudah dan tepat. Yang tiada di sini ialah barometer, pembesar suara dan mikrofon yang boleh ditemui pada jam tangan pintar lain di pasaran.

Akhir sekali T-Rex hanya hadir dalam versi bluetooth untuk tambatan pada peranti pintar tanpa sokongan rangkaian selular.

Antaramuka Dan Penggunaan

Seperti pemproses dan RAM, sistem operasi yang digunakan oleh T-Rex adalah misteri. Apa yang boleh saya katakan walaupun ia misteri pengalaman penggunaan jam tangan ini adalah memuaskan. Talalan adalah lancar cuma kadang kala saya menyedari wujud sela masa apabila ingin kembali ke skrin utama peranti. Pelbagai fungsi asas diakses dengan melakukan tatalan atas ke bawah atau kiri ke kanan.

Tatalan ke atas akan memberikan akses kepada skrin bacaan nadi, pengiraan tapak dan tetapan pantas. Tatalan ke kiri akan memberikan akses kepada notifikasi yang diterima pada telefon pintar yang ditambat. Akhir sekali tatalan ke kanan akan membuka skrin aplikasi-aplikasi yang terpasang. Jumlah aplikasi yang terpasang tidak boleh ditambah Antara yang disertakan ialah cuaca, kawalan audio, pedometer, penggera, kompas dan penggera.

Oleh sebab itulah saya merasakan T-Rex bukanlah sebuah jam tangan pintar sebenar. Ia tidak setaraf Apple Watch, Samsung Galaxy Watch ataupun Xiaomi Mi Watch. Anda harus berpuas hati dengan aplikasi terpasang yang diberikan. Tiada gedung khas untuk memuat turun aplikasi boleh diakses.

Aplikasi Amazfit perlu dipasang pada telefon pintar terlebih dahulu untuk pengalaman penggunaan T-Rex yang lebih menyeluruh. Antaramuka aplikasi Android dan iOS adalah sama. Rekaan aplikasi adalah amat baik, kemas dan moden. Pelbagai fungsi-fungsi utama jam boleh diakses dan dikawal terus dari aplikasi ini. Pilihan yang diberikan juga agak pelbagai memudahkan pengguna mengkustomasi paparan pada skrin jam misalnya.

Kebanyakan tetapan penting untuk T-Rex hanya boleh dilakukan dari dalam aplikasi. Antaranya ialah mengaktifkan muka jam apabila tangan diangkat, mengawal paparan notifikasi, urutan susunan aplikasi, dan kekerapan melakukan bacaan nadi. Pada hemat saya tetapan asas seperti mengaktifkan skrin apabila tangan diangkat sekurang-kurangnya harus diberikan pada jam. Akibatnya untuk dua hari pertama saya menggunakan jam yang perlu ditekan untuk menunjukkan waktu.

Sebanyak 30 muka jam boleh dipilih. Ini terdiri daripada muka jam analog dan juga digital. Kesemua muka jam adalah menarik dengan rekaan yang rata-ratanya garang selari dengan imej tahan lasak T-Rex. Seperti aplikasi terpasang, tiada pilihan untuk menambah muka jam baharu. Apa yang anda dapat itulah sahaja yang boleh digunakan.

Maklumat yang boleh dipaparkan pada muka jam amat bergantung kepada apa yang dipilih. Ada yang membenarkan paparan analog, digital, nadi, tapak, tahap bateri, tarikh dan suhu semasa. Ada juga yang hanya sekadar memaparkan waktu analog, nadi dan jumlah tapak. Kesemuanya menyokong mod Always On Display bagi mengurangkan penggunaan bateri.

Pelbagai notifikasi boleh dipaparkan pada skrin apabila jam ditambat pada sebuah telefon pintar. Namun begitu kerana sokongan aplikasi yang terhad menyebabkan majoriti notifikasi yang diterima adalah generik dengan ikon APPS terpapar pada skrin. Adalah lebih baik jika perisian T-Rex dikemaskini untuk memaparkan ikon berbeza untuk kesemua aplikasi.

Pada satu-satu masa hanya 3 muka jam boleh disimpan pada T-Rex. Proses menukar muka jam adalah amat lama. Secara purata mengubah satu muka jam mengambil masa sekitar 45 saat bergantung kepada saiz. Oleh itu proses mencuba kesemua 30 muka jam yang diberikan adalah amat-amat leceh. Sistem menukar muka jam pada Gear S3 adalah lebih pantas dan mudah. Adalah mengecewakan sebuah jam yang dilancarkan pada tahun 2020 tidak mempunyai sistem mengubah muka jam sebaik sebuah jam tangan pintar yang berusia hampir empat tahun.

Dari segi kemampuan menjejak kesihatan dan aktiviti sukan pula saya merasakan ia sekadar memuaskan. Bacaan nadi adalah konsisten dengan bacaan pada jam tangan pintar (Gear S3) dan penjejak kesihatan (Fitbit Charge) yang saya gunakan serentak sepanjang tempoh ulasan. Tetapi saya menyedari bacaan tapak kerap kali kurang tepat. Pernah sekali saya hanya berjalan di dalam pejabat tetapi T-Rex mengatakan saya telah berjaya mencatatkan 1000 langkah yang pad hemat saya adalah kurang munasabah.

Satu ciri yang tidak disokong ialah kemampuan mengesan aktiviti yang dilakukan secara automatik. Pada jam tangan pintar yang lebih premium misalnya, ia dapat mengesan anda sedang berlari atau berjalan sebelum memberikan saranan sama ada ianya baik ataupun tidak. Kesemua aktiviti yang ingin dijejak pada T-Rex perlu diaktifkan secara manual terlebih dahulu. Kepintaran jam tangan pintar ini tidak sebaik pesaing yang dijual pada harga yang lebih premium. Terdapat cir mengesan pola tidur tetapi ia tidak saya gunakan dengan menyeluruh kerana T-Rex terlalu besar untuk dibawa tidur. Data yang boleh dijejak ialah berapa lama tempoh tidur, berapa lama tempoh tidur nyenyak dan bila terjaga.

Berikut ialah beberapa fungsi yang disertakan pada Amazfit T-Rex

Find My Phone – Mencari telefon pintar sekiranya hilang. Menerusi aplikasi pula T-Rex juga boleh dicari kerana mengeluarkan bunyi penggera.

Music – Mengawal pemain muzik yang sedang dimainkan pada telefon pintar.

Countdown/Timer – Sistem pemasa dan jam randik.

Alarm – Sistem penggera

Event Reminder – Memberikan peringatan harian

Bateri

Dengan bateri 360 mAh, ia diiklankan dengan kemampuan beroperasi sebagai jam tangan pintar sehingga 22 hari. Sepanjang ulasan saya masih belum pernah mengecasnya sekali sahaja semasa hari pertama ia dikeluarkan dari kotak. Selepas lebih seminggu, masih terdapat lebih 50% bateri. Kekuatan T-Rex adalah hayat bateri yang amat lama melangkaui Watch GT2 yang memegang rekod selama 14 hari sebelum ini.

Hayat bateri akan hanya terjejas jika sistem GPS dan pembacaan nadi berterusan diaktifkan. Menurut Amazfit ini akan memendekkan hayat bateri ke 20 jam sahaja. Harus saya akui tidak mencuba mod ini kerana tiadanya keperluan. Sekiranya skrin AOD diaktifkan saya menyedari bateri berkurang dua kali lebih pantas. Oleh itu penggunaan T-Rex mungkin sekitar 10 hari sahaja jika AOD diaktifkan.

Sekiranya bateri habis, proses pengecasan mengambil masa sekitar 1 jam sahaja. Sebuah pengecas magnetik diperlukan dan ia menggunakan rekaan khas Amazfit kerana ia tidak menyokong pengecasan nirwayar Qi. Berita baik di sini ialah pengecas T-Rex dijual pada harga sekitar RM30 sahaja di beberapa gedung atas talian sekiranya pemilik inginkan pengecas kedua.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan Amazfit T-Rex ialah sebuah jam tangan pintar tahan lasak yang mampu melakukan kesemua fungsi asas dengan baik. Sistem pembacaan nadi, tidur dan tapak yang digunakan adalah setanding dengan beberapa jam tangan pintar/penjejak kesihatan yang saya pernah ulas di Amanz. Kekuatan T-Rex terletak pada rekaannya yang tahan lasak dan hayat bateri yang amat mengagumkan. Bagi insan yang tidak tahu menjaga peranti dan culas mengecas, T-Rex menyelesaikan dua masalah besar peribadi saya.

Tetapi tidak boleh dinafikan kelemahan T-Rex terletak pada perisian jam tangan ini. Majoriti tetapan perlu dilakukan menerusi aplikasi pada peranti pintar. Perkara asas untuk mengaktifkan pengesanan pergerakan tangan tidak seharusnya dilakukan pada aplikasi. Seterusnya ialah sistem mengubah muka jam yang amat perlahan sehingga boleh menimbulkan kemarahan.

Oleh sebab itu saya merasakan T-Rex adalah untuk mereka yang mencari sebuah jam tangan pintar yang tahan lasak pada harga yang lebih mampu milik berbanding jenama lain di pasaran. Rekaannya amat menarik walaupun kurang premium. Kemampuan menjejak kesihatannya sekadar memuaskan kerana tidak konsisten dan tiada pilihan menambah aplikasi baharu kerana tiada sokongan gedung untuk memuat turun.

Di akhir hari Amazfit T-Rex ialah jam tangan pintar kelas pertengahan yang saya boleh sarankan kepada mereka yang ingin berjinak-jinak tanpa perlu merobekkan dompet. Saya ada beberapa rakan yang berbelanja ribuan ringgit untuk seutas jam tangan pintar yang kemudiannya tidak digunakan sehingga menimbulkan rasa menyesal kerana membazir. T-Rex adalah sesuai bagi mereka yang mungkin ingin mencuba jam tangan pintar yang mempunyai fungsi-fungsi asas yang diperlukan untuk bersukan tanpa perlu memuat turun aplikasi dengan kerap.

Pada harga RM699 sebuah ia adalah jauh lebih mampu milik berbanding Galaxy Watch Active2 atau Apple Watch. Sekiranya anda inginkan alternatif, Huawei Watch GT2 ataupun Honor MagicWatch 2 dipasarkan pada harga yang hampir setanding.

KelebihanKekurangan
  • Rekaan tahan lasak yang bukan sahaja kalis ari tetapi tahan hentakan.
  • Skrin AMOLED yang terang walaupun di bawah sinaran matahari yang terik.
  • Hayat bateri yang amat baik melebihi dua minggu dengan sekali caj.
  • Melakukan penjejakan kesihatan asas dengan memuaskan.
  • Ringan walaupun bersaiz agak besar. Selesa dipakai sepanjang hari.
  • Binaan terasa kurang premium dan agak murah.
  • Tiada sokongan aplikasi.
  • Majoriti tetapan perlu diubah menerusi aplikasi.
  • Proses mengubah muka jam amat perlahan.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd