Cari @ Amanz

Sistem pengecasan pantas merupakan salah satu ciri utama yang memainkan peranan ketika pengguna memilih peranti mudah-alih pada hari ini. Pelbagai telefon pintar kini hadir dengan pengecasan pantas, mencapai sehingga 65W. Malah, terdapat beberapa pengeluar yang telah memasarkan bakal hadir dengan pengecasan pantas mencapai 100W.

Terkini, Oppo dilihat bakal melancarkan sistem pengecasan pantas baru – iaitu 125W Super Flash Charge. Teknologi ini dianggarkan dapat mengecas peranti 4000mAh sehingga penuh dalam masa 10 minit sahaja atau mungkin kurang. Sebelum ini pernah tertiris yang Realme memperlihatkan teknologi 120W Ultra Dart, 4000mAh dicas sehingga penuh dalam masa 3 minit. Jika Realme menguji teknologi ini, tidak dinafikan yang teknologinya adalah berasaskan dari apa yang Oppo hasilkan. Oppo dijangka bakal melancarkan sistem pengecasan ini pada 15 Julai ini dan ia bermakna peranti yang bakal menyokong sistem pengecasan ini akan tiba tidak lama lagi.

Oppo sebelum ini ada juga memperlihatkan teknologi 80W, namun tiada sebarang pengesahan atau berita lanjut mengenainya sehingga kini. Realme juga masih tidak memberi kenyataan mengenai sistem pengecasan baru mereka. Tidak pasti sama ada teknologi ini akan dilancarkan tahun ini kepada pengguna atau Oppo hanya akan membuat demonstrasi sahaja. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan. Ini kerana kelak, bateri kecil pun tidak jadi masalah –  kerana kurang 10 minit sudah boleh cas sehingga penuh.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd