Jika Xiaomi ada Redmi, Huawei ada Honor, Xiaomi dan Redmi mempunyai produk komputer riba, begitu juga dengan Huawei dan Honor. Redmi dan Honor seperti biasa, menyasarkan pengeluaran produk lebih mampu milik berbanding pesaing. Jadi, mana-mana komputer riba dari mereka yang dilancarkan sebelum ini, semuanya dijual pada harga yang murah dengan spesifikasi yang hebat. Komputer riba terkini dari Honor yang dilancarkan di Malaysia adalah Honor MagicBook 14, iaitu kompter riba dijana Ryzen 5 dan dijual pada harga RM2,499 sahaja.
Saya sudah menggunakan komputer riba ini untuk seketika, membuat kerja-kerja menyunting gambar, menyunting video ringkas, menulis artikel dan sebagai medium hiburan mendengar muzik dan menonton video. Saya menerima pengalaman penggunaan yang baik dan memuaskan. Cuma seperti biasa, untuk siapakah komputer riba ini dan adakah ianya berbaloi untuk dimiliki?
Spesifikasi & Rekaan
Honor MagicBook 14 | ||
---|---|---|
Skrin | 14″ 1920 x 1080, FHD 16:9 TÜV Rheinland IPS, LCD, bezel nipis |
|
Pemproses | AMD Ryzen 5 3500U | |
Grafik | Radeon Vega 8 Graphics | |
RAM | 8 Gigabyte DDR4 | |
Muatan Dalaman | 256GB NVMe SSD | |
Kamera | Tersorok Pada Papan Kekunci | |
I/O | 1x USB-C 1x USB-A 3.0 1x USB-A 2.0 1x HDMI 1x port bicu audio 3.5mm |
|
HDMI | Ada | |
Pembaca Kad | Tiada | |
Sekuriti | Pengimbas Cap Jari | |
SIM | Tiada | |
Bateri | 56Wh + Pengecas pantas 65W 46% 30 minit |
|
Harga Jualan | RM2,499 |
Komputer riba ini menggunakan skrin IPS LCD bersaiz 14-inci dengan resolusi FHD, 1920 x 1080. Ia juga menggunakan rekaan bezel nipis, tetapi mempunyai bahagian bawah yang tebal dengan logo Honor. Skrin komputer riba ini juga mempunyai pengiktirafan TÜV Rheinland, untuk kesihatan mata pengguna.
Kualiti skrin adalah baik sekali dengan kemasan matte yang mudah untuk dilihat tidak kira dari mana-mana sudut. Tetapi jika terkena dengan cahaya matahari yang terik, ia sedikit sukar untuk dilihat – tetapi masih baik dan bukan di tahap yang menjengkelkan. Menonton video, membuat kerja – skrin Honor MagicBook 14 ini adalah baik-baik sahaja. Honor tidak menyertakan sebarang sokongan sokongan skrin sesentuh, tetapi itu tidak menjadi masalah kerana pad sesentuhnya mempunyai saiz yang selesa.
Komputer riba ini dijana dengan pemproses AMD Ryzen 5-3500U dan dipadankan dengan memori 8GB RAM DDR4 dan storan dalaman 256GB SSD NVMe. Manakala untuk kad grafik, ia menggunakan Radeon Vega 8 Graphics. Ya, ia adalah generasi lama untuk pemproses Ryzen pada komputer riba – sekarang banyak sudah mula menggunakan Ryzen 5-4xxx. Tetapi itu tidak bermakna pemproses ini tidak relevan dan tidak berkuasa, malah ia memberi peluang Honor menjual pada harga lebih mampu milik. Prestasi komputer riba ini adalah sangat pantas jika dibandingkan dengan Intel Core i5 dengan RAM 8GB yang mempunyai cip grafik Intel HD.
Dalam penggunaan saya, untuk kerja-kerja harian – seperti Photoshop, pelayar web Microsoft Edge, Mozilla Firefox, menonton YouTube, Netflix, Prime Video dan mengambil nota ia mempunyai prestasi yang lancar lagi pantas. Masalah hanya mula tiba apabila tab banyak dibuka pada kedua-dua pelayar web dan Photoshop dibuka serantak. Tetapi, ia tidak menjengkelkan sehingga menimbul perasaan ingin jahanamkan komputer riba ini – malah ia hanya tergedala seketika dan kerja boleh diteruskan seperti biasa.
Cuma, lebih indah jika Honor menawarkan RAM 16GB paling kurang untuk kepuasan yang lebih hebat. Dengan memori yang tinggi, ia akan memberi pengguna memori tambahan untuk memastikan prestasi yang lebih lancar dan masalah lengah masa akan lebih kurang.
Komputer riba ini mempunyai jumlah I/O yang sangat terhad. I hanya mempunyai 1x USB-C, 1x USB-A 3.0, 1x USB-A 2.0, 1x HDMI dan port bicu audio 3.5mm. Menariknya pada USB-C adalah, ia bukan sahaja untuk pemindahan data – tetapi turut berfungsi sebagai port pengecasan. Papan kekunci direka agar mirip dengan Apple MacBook, pembesar suara terdapat pada bahagian bawah bersama-sama dengan kekisi untuk pengaliran haba. Ia juga ringan, iaitu 1.38kg sahaja dan mudah di bawah ke mana-mana sahaja. Untuk pasaran Malaysia, hanya terdapat satu warna sahaja – iaitu Mystic Silver. Ia adalah warna perak yang lembut dengan kemasan matte dan tidak licin.
Jika anda teliti pada kerangka bahagian skrin, ia mempunyai kemasan serongan Azure Blue di sekelilingnya yang menjadikan rekaan MagicBook 14 ini cantik dan seksi. Kilauan berwarna biru ini akan lebih kelihatan jika di bawah cahaya yang baik. Walaupun warna perak pada komputer riba ini sudah klise, kemasan pada serongannya adalah unik sekali.
Penanda Aras
Mengejutkan, dalam ujian penanda aras pada PCMARK10 – komputer riba ini menambat skor yang agak tinggi iaitu 3710. Ini adalah selepas melakukan ujian beberapa kali dan ia ujian kedua memperlihatkan skor yang tinggi dan hanya selepas ujian ketiga menurun kerana komputer riba sudah memanas. Skor yang tinggi ini membuktikan pengalaman penggunaan positif saya selari dengan skor sebegini. Skor ini bukan yang terbaik, ini mungkin kerana RAM dan pemproses generasi lama. Tetapi ia sudah dijangka akan berada dalam lingkungan ini.
Skor seterusnya adalah ujian tanda aras SSD melalui CrystalDiskMark. Saya amat musykil pada awalnya, kenapa ia perlahan berbanding komputer riba lain? Selepas membuat ujian, ia hanya mampu membaca pada kadar 1795.85MB/s dan menulis pada kadar lebih rendah iaitu 1648.87MB/s. Tetapi bukan berada di tahap yang sangat teruk dan sangat perlahan. Ia cuma tidak memuaskan dan menjengkelkan apabila ada fail yang ingin dipindahkan ke pemacu USB, mengambil masa yang sedikit lama.
Papan Kekunci & Pad Sesentuh
Papan kekunci adalah yang paling menjengkelkan untuk MagicBook 14 ini. Ia tidak mempunyai travel yang baik dan tidak mempunyai tindak balas dengan responsif yang pantas. Ia seakan menekan pada sebuah permukaan rata dengan hanya sedikit sahaja rasa kekunci itu ditekan ke dalam. Jelas di sini yang papan kekunci ini ditiru dari papan kekunci kupu-kupu Apple – yang semua tahu itu adalah papan kekunci yang gagal. Kenapa tiru yang gagal dan tidak tiru yang terbaik iaitu papan kekunci Magic?
Menaip tiada masalah, cuma ia tidak memuaskan. Tiada isu tersalah tekan, saiz juga semuanya baik sekali dan sesuai dengan komputer riba ini. Ia cuma tidak puas dan tidak memberikan pengalaman yang baik. Hanya ingin menaip seketika sahaja dan kemudian rasa ingin terus berhenti. Lampu LED pada papan kekunci juga sangat malap dan tiodak cukup terang.
Beralih kepada pad sesentuh pula, ia adalah antara yang terbaik dan menarik. Saiz yang cukup besar, cukup jitu, menggunakan pemacu jitu Windows dan semua kawalan gestur mudah digunakan. Walaupun jari sedikit berpeluh, ia masih mengesan dengan baik sekali dan sepanjang penggunaan komputer riba ini – saya langsung tidak menggunakan tetikus.
Kamera
Untuk kamera, ia menggunakan lensa HD sahaja. Ini bermakna ia tidak berkualiti sangat dan hasil gambar adalah pecah-pecah dan penuh dengan hingar. Latar belakang tidak dipelihara dan terdedah kepada cahaya, video pula lebih teruk dengan kesan hingar yang sangat banyak. Ini adalah dalam pejabat dengan suasana yang bergantung kepada cahaya matahari. Ia mungkin akan lebih baik jika menghidupkan lampu. Tetapi, HD tetap HD apa yang anda lihat itulah kualitinya – hanya beza pada terang atau tidak sahaja.
Kameranya menggunakan konsep sama seperti Huawei MateBook, iaitu disembunyikan pada papan kekunci. Ia terdiam di antara kekunci fungsi F6 dan F7 dan menggunakan ikon kamera. Tekan sahaja kekunci ini untuk menghidupkan kamera. Ia mudah digunakan tetapi menjengkelkan kerana kamera akan fokus kepada lubang hidung dan apabila ingin berbual dengan rakan – perlu memandang kamera dan skrin sukar untuk dilihat. Ada dua pilihan, fokus pada lubang hidung atau pandang kamera dan tidak lihat skrin.
Audio
Pembesar suara stereo kini dilihat sudah menjadi standard untuk banyak komputer riba. Audio yang MagicBook hasilkan adalah baik sekali dan memuaskan untuk kelasnya. Ia cukup kuat, lantang dan mempunyai dentuman yang memuaskan. Walaupun pembesar suara komputer riba ini berada di bawah, ia tidak begitu teruk atau kedap – sebaliknya menjadikan kualiti audio lebih baik dari yang saya sangkakan.
Tidak kira video atau audio, dari platform Spotify atau Netflix – kualiti audio dia cukup baik dan memuaskan. Ia bukan yang terbaik dan akan ada yang tidak menggemarinya. Jika saya bandingkan dengan MacBook Air 2019, ia mempunyai kualiti yang lebih baik – tetapi ia sudah berada dalam kelas yang berbeza dan tidak adil untuk membandingkannya antara satu sama lain.
Jika kualiti pembesar suara ini tidak mencukupi bagi sesetengah individu, port bicu audio masih dikekalkan dan banyak aksesori audio di luar sana boleh dimiliki yang akan menepati citarasa semua orang.
Sekuriti
Honor MagicBook 14 menggunakan pengimbas cap jari yang terbina pada butang kuasa. Prestasinya agak lemah dan kerap sekali ia gagal mengimbas jari saya dan terpaksa menggunakan pin dan kata laluan. Sudah semestinya, ia dipadankan dengan Windows Hello untuk sistem sekuriti yang kukuh. Tetapi kerap gagal ini agak menyusahkan saya dan saya tidak gemar. Sepanjang penggunaan, saya lebih kerap menggunakan pin dan kata laluan berbanding pengimbas cap jari.
Jika isu seperti ini kerap berlaku, alternatif lain adalah dengan menetapkan kata laluan yang sukar dengan aksara yang bercampur aduk nombor, huruf, simbol – kemudian tetapkan fungsi Dynamic Lock. Saya sedar pemacu Bluetooth pada komputer riba ini agak hebat dan notifkasi Dynamic Lock kerap muncul. Jika anda menggunakan Honor Band, tiada masalah untuk padankan atau juga Mi Band.
Bateri
Tidak pasti ini masalah Ryzen ataupun komputer riba ini sendiri, bateri 56Wh yang digunakan dilihat agak lemah. Dalam tempoh penggunaan saya, satu hari hanya bertahan sekitar 4 jam sahaja, tidak pernah lebih dari itu ketika WiFi dan Bluetooth diaktifkan. Kerja harian saya bergantung kepada internet 100%, jadi agak kecewa jika hanya bertahan selama 4 jam sedangkan tempoh bekerja saya adalah 8 jam. Ketahanan 4 jam ini adalah dari penggunaan asas sahaja, iaitu Photoshop, beberapa pelayar web dengan banyak tab, perisian Photoscape X untuk penyuntingan gambar, kerja-kerja pemindahan data dan kecerahan skrin adalah 100%.
Honor menjanjikan ketahanan bateri sepanjang hari, iaitu sekitar 9.5 jam. Tetapi jika hanya separuh daripada itu sahaja ketahanan bateri, ia amat mengecewakan. Paling kurang saya menjangkakan akan bertahan sekurang-kurangnya separuh hari. Tetapi, dengan memberikan pengecas 65W berasaskan USB-C dan menjanjikan tempoh mengecas 30 minit untuk 49%, itu mungkin perkara baik. Apabila mula mengecas dari 10%, Windows membaca masa pengecasan penuh adalah 1 jam 20 minit, jadi ia agak pantas dan saya tidak sedar pun apabila komputer riba ini sudah dicas sehingga penuh.
Kesimpulan
Seperti biasa, untuk menamatkan ulasan saya ini – saya akan simpulkan sama ada adalah Honor MagicBook 14 ini berbaloi untuk dimiliki dan untuk siapakah ia? Honor Malaysia menjual komputer riba ini pada tanda harga RM2,499 dengan penawaran hadiah percuma bernilai lebih RM817. Ini menjadikan kos komputer riba ini sekitar RM1,682. Hadiahnya adalah Honor Magic Watch, beg galas Honor dan juga tetikus Honor. Jika itu tidak berbaloi saya tidak tahu ingin kata apa lagi. Ia adalah satu pakej yang hebat.
Komputer riba ini mempunyai prestasi yang baik, sesuai dengan kelasnya, pemproses berkuasa yang menjamin harga mampu milik dan pengalaman penggunaan yang tidak mengecewakan. Pembesar suara enak didengari, pad sesentuh yang luas dan selesa, serta skrin bezel kecil yang menjamin memuaskan. Ya, sedikit mengecewakan yang papan kekuncinya tidak mempunyai tindak balas yang responsif. Tetapi, mana-mana pembelian produk yang harganya mampu milik – pasti akan ada pengorbanan. Isu yang tidak serius mana, kerana ada sahaja yang akan gemari papan kekunci seperti ini.
Kamera web mungkin tidak sehebat mana dengan ketahanan bateri yang lemah. Itu boleh diselesaikan dengan pilihan banyak kamera web lain, atau kamera sedia ada untuk panggilan video. Bateri pula tidak menjadi isu besar jika anda tetapkan pada kadar yang minima dan kerap menggunakan pengecasan pantas.
Oleh yang demikian, Honor MagicBook 14 ini berani saya katakan ia sesuai untuk semua orang. Dari pelajar, pekerja pejabat, pereka yang baru sahaja ingin memulakan projek atau kerja-kerja penyuntingan asas – anda tidak akan menyesal.
KELEBIHAN | KEKURANGAN |
|
|