Cari @ Amanz

Pada pertengahan tahun ini, ASUS telah memperlihatkan pelbagai model komputer riba gaming baru dibawah jenama ASUS Republic of Gaming.

Salah satu daripada komputer riba yang diperlihatkan ialah ASUS ROG Zephyrus Duo 15, iaitu komputer riba ASUS ZenBook Pro Duo yang diberikan sentuhan gaming oleh pasukan ASUS Republic of Gaming.

Seperti yang dinyatakan didalam nama komputer riba ini, Zephyrus Duo 15 ini hadir dengan dua paparan skrin, dimana paparan utama bersaiz 15.6 inci dengan pilihan resolusi Ultra HD ataupun Full HD dan skrin boleh-sentuh kedua diatas papan kekunci bersaiz 14 inci dengan resolusi 3840 x 1100.

ASUS ROG Zephyrus Duo 15 ini dikuasakan oleh dua pilihan CPU Intel terbaru, termasuklah Intel Core i9-10980HK ataupun Intel Core i7-10875H, memori DDR4 16GB yang boleh menyokong jumlah RAM sehingga 48GB bersama-sama dengan storan SSD PCIe sebesar 1TB yang digabungkan dengan storan SSD SATA sebesar 1TB juga.

Dari segi pilihan kad grafik pula, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan model ROG Zephyrus Duo yang dikuasakan oleh NVIDIA GeForce RTX 2080 Super ataupun NVIDIA GeForce RTX 2070 Super.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, komputer riba ROG Zephyrus Duo 15 ini juga hadir dengan paparan sekunder ScreenPad Plus yang kini boleh diubahsuai kedudukannya untuk memudahkan pengguna untuk melihat skrin tersebut.

Malah, sistem penyejukan Active Aerodynamic System dialih ke bahagian bawah paparan ScreenPad Plus ini untuk meningkatkan kemampuan pengaliran udara kipas-kipas tersebut.

Menurut ASUS Malaysia, komputer riba ASUS ROG Zephyrus Duo 15 ini dijangka akan tiba ke pasaran tempatan pada bulan hadapan. Mereka juga berkata tarikh pelancaran dan tanda harga komputer riba ini akan diperlihatkan tidak lama lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd