Sedekad yang lalu apabila saya berkata saya bekerja sebagai seorang blogger, ramai sanak saudara yang menggaru kepala. Tak kurang juga yang menggesa kami mencari pekerjaan lain yang lebih stabil kerana blogger tidak dianggap sebagai kerjaya sebenar. Tetapi kini tidak lagi dengan pemangkin media sosial serta penghasil video di YouTube dianggar sebagai pekerjaan di negara kita.
Walaupun China ialah negara yang lebih maju berbanding Malaysia, mereka, baru sahaja mengiktiraf kerjaya sebagai vlogger, blogger, menjual produk di laman edagang dan atlet esukan sebagai pekerjaan sebenar. Sebelum ini kesemuanya tidak diiktiraf dan individu yang melakukan pekerjaan ini dikategorikan sebagai menganggur.
Tindakan mengiktiraf ini sebenarnya bukanlah langkah progresif oleh kerajaan China tetapi sebaliknya dilihat sebagai usaha untuk merendahkan jumlah peratusan penganggur akibat Covid-19. Pada waktu ini kadar pengangguran di China ialah 6.2% dengan kerajaan menyasarkan ia turun ke 6% menjelang penghujung tahun.
Antara langkah yang diambil untuk mengurangkan impak wabak ke atas pasaran pekerjaan ianya menggalakkan pelajar universiti untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dan mengambil graduan menjadi cikgu di kawasan pedalaman. Adakah pembaca Amanz merasakan kerjaya-kerjaya “moden” ini layak diiktiraf sebagai pekerjaan?