Google Pixel 4a adalah peranti kelas pertengahan baru yang Google bakal lancarkan tidak lama lagi. Ia adalah pengganti kepada Pixel 3a dan menggunakan rekaan serba baru jika dibandingkan dengan peranti Pixel sebelum ini. Rekaan yang digunakan adalah bezel yang selari dan berlubang untuk kamera swafoto.
Menurut laporan sebelum ini, Google Pixel 4a akan dilengkapi skrin 5.81″ OLED FHD+, dijana cip Snapdragon 730, memori 6GB RAM, storan sehingga 128GB, kamera utama 12.2-Megapixel, kamera swafoto 8-Megapixel dan bateri sebesar 3080 mAh. Baru-baru ini, Google secara tidak sengaja memperlihatkan imej pengolokan rasmi peranti ini di laman rasmi Google Store mereka. Menurut laporan, Google sebenarnya ingin memaparkan imej Google Nest baru – iaitu pengganti kepada Google Home asal.
Imej ini sudah pun dibuang dari laman web Google dan digantikan dengan imej yang sepatutnya. Ini bermakna, Google sudah bersedia untuk menjual peranti ini dan ia hanya tersorok dalam lama web tersebut sahaja (mungkin). Harga jualan dikatakan adalah lebih murah dari iPhone SE 2 dan akan menawarkan storan yang lebih besar. Sama-sama kita nantikan.