Carian
Rekaan Sebenar & Prototaip OnePlus Nord Diperlihatkan
July 14, 2020 Fahim Zahar

OnePlus Nord adalah peranti kelas pertengahan yang bakal dilancarkan oleh OnePlus tidak lama lagi. I adalah generasi baru peranti dalam kelas ini, selepas kegagalan OnePlus X. OnePlus sudah mengacah lama mengenai peranti ini dan kita sudah tahu is mempunyai spesifikasi yang hebat.

Baru-baru ini, YouTuber teknologi terkenal MKBHD telah membuat temu ramah bersama dengan Carl Pei. Di dalam video ini, Carl Pei telah memperlihatkan beberapa prototaip OnePlus Nord dan juga rekaan akhir peranti ini. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, OnePlus Nord akan mempunyai beberapa pilihan warna, kamera swafoto sudut lebar, tri-kamera belakang dan Snapdragon 765G.

Paling unik adalah prototaip yang diperlihatkan. OnePlus mempunyai rekaan kamera yang menggunakan tiga kamera modul berasingan di belakang peranti sebelum menggunakan rekaan bujur memanjang. Prototaip ini juga memperlihatkan rekaan segi empat yang dilihat rata. Rekaan akhir dilihat mirip OnePlus 8, cuma susun atur kamera yang berbeza.

Kemasan yang berbeza pada panel belakang turut diperlihatkan pada prototaip. Ia adalah unik, seperti Pixel yang menggunakan dua tona dan bahan berbeza pada Pixel 2 – OnePlus Nord versi prototaip menggunakan tiga tona dan setiap kemasan adalah berbeza.

Peranti ini akan dilancarkan pada 21 Julai dan Malaysia adalah salah satu negara terpilih untuk pasaran peranti ini. Sama-sama kita nantikan.

Komen