Dalam diam-diam, Oppo nampaknya dalam perancangan untuk produk baru lagi. Sebelum ini, peranti misteri Oppo dengan kod model PDYM20 telah ditemui di laman TEENA dan ramai berspekulasi ia adalah peranti untuk siri Reno. Namun ternyata jangkauan itu meleset sama sekali.
Peranti tersebut telah dikenal pasti sebagai OPPO A72 5G muncul di laman web China Telecom. Penyenaraian tidak hanya memperlihatkan nama model semata, sebaliknya ia turut mendedahkan sejumlah spesifikasi dan gambar peranti. OPPO A72 5G dipercayai mempunyai paparan 6.5-inci FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz dan skrin berlubang menempatkan kamera swafoto 8-Megapixel.
Tunjang utama peranti menggunakan pemproses octa-core 2.0GHz yang dipasanh dengan RAM 8GB dan storan sehingga 128GB. Namun begitu, maklumat mengenai cip pemproses masih belum diketahui buat masa ini. Untuk kamera utama, ia mungkin dibekalkan dengan lensa 16-Megapixel + 8-Megapixel + 2-Megapixel.
Kapasiti bateri pula tidak didedahkan, namun khabar angin mengatakan ia akan dibekalkan dengan bateri 4,000mAh. Seperti biasa, maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura, untuk ketahui lebih lanjut kita tunggu tuan empunya badan muncul kelak.