Cari @ Amanz

Acer terkenal dengan produk gaming menerusi siri Predator yang disertakan penawaran spesifikasi berprestasi tinggi. Acer juga dilihat berjaya meyakinkan sejumlah pengguna bahawa setiap produk keluarannya adalah unik, berbeza dan seimbang dengan harga yang ditawarkan. Kalau anda masih ingat, Acer telah melancarkan Acer Predator Triton 500 sekitar tahun lalu. Bukan sekadar hadir dengan komponen yang berkuasa tinggi, malah binaan rekaannya juga boleh dikatakan menarik dengan penampilan serba minimalis tetapi tampak elegan.

Kini, Acer memperluaskan lagi penawaran komputer riba gaming di bawah siri ini menerusi pengenalan edisi terbaru iaitu Acer Predator Triton 500 (2020). Ia dikemaskan dengan sejumlah perkakasan dalaman terkini termasuk CPU Intel Core generasi ke-10 dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX Super.

Edisi terbaru ini tersedia dalam dua varian. Varian asas dilengkapi skrin IPS 15.6-inci dengan kadar segar semula 144Hz, kad grafik RTX 2070 Max-Q GPU dan memori 8GB RAM. Manakala varian tertinggi pula menyokong skrin IPS 15.6-inci dengan kadar segar semula 300Hz, kad grafik RTX 2070 Super Max-Q GPU dan memori 16GB RAM. Untuk ulasan, penulis menggunakan model dengan varian tertinggi dan bagaimana dengan prestasinya dalam dunia nyata? Mari kita cuba selami satu persatu

Spesifikasi & Reka Bentuk :

ACER PREDATOR TRITON 500 (PT515-51-7861)
Skrin 15.6″ (300Hz) IPS FHD (1920 x 1080), G-Sync
Pemproses Intel Core i7-10875H  (8C / 16T, 2.3GHz hingga 5.1GHz)
Grafik Nvidia GeForce RTX 2070 Super Max-Q 8GB GDDR6 VRAM
RAM 16GB DDR4 2933MHz
Muatan Dalaman 512GB PCIe NVMe SSD
Kamera 4720p
I/O 1x USB 3.1 Type-C (Thunderbolt 3, DisplayPort), 3x USB 3.2 Type-A,
1x DisplayPort mini 1.4, bicu audio
HDMI 1x HDMI 2.0
Imbasan Tiada
Bateri 82 WHr
Harga Jualan RM7,999 – RM8,999

Penulis memulakan kupasan ulasan dengan menyentuh mengenai  spesifikasi dan binaan rekaan terlebih dahulu. Sekali pandang, ia nampak seakan sama sahaja seperti pendahulunya. Tetapi, ia hadir dengan penambahbaikan dan perubahan lebih baik daripada pelbagai sudut. Acer Predator Triton 500 (2020) menggunakan skrin bersaiz 15.6 inci IPS LCD dengan resolusi Full HD ( 1920×1080 pixel ). Paparan ini juga dilengkapi sokongan NVIDIA G-SYNC dengan kadar segar semula yang tinggi sehingga 300Hz bertujuan memaksimumkan lagi pengalaman bermain permainan video yang mengujakan. Ini merupakan salah satu perubahan yang ketara berbanding model terdahulu yang hanya menyokong kadar segar semula 144Hz.

Seperti mana yang penulis katakan di bahagian ‘mukadimah’, unit ulasan ini merupakan varian tertinggi. Ia menggabungkan konfigurasi Intel Core i7-10875H dengan padanan memori 16GB DDR4 dengan kelajuan 2933MHz dan storan 512GB PCIe NVMe SSD. Selain itu, ia turut dilengkapi sokongan Wi-Fi 6, ethernet E3100G dan sistem penyejukan Vortex Flow yang dioptimumkan oleh teknologi CoolBoost.

Sama seperti komputer riba Predator yang ada, Acer Predator Triton 500 juga dilengkapi dengan perisian Acer Predator Sense bertujuan untuk mengawal sejumlah ciri-ciri utama seperti pencahayaan lampu RGB pada papan kekunci, fungsi lewah jam, kelajuan kipas dan pemantauan komputer riba. Perisian ini boleh diaktifkan menerusi butang kekunci dengan logo ‘Predator’ yang ditempatkan bersebelahan kekunci backspace.

Acer Predator Triton 500 (2020) memiliki aspek binaan luaran yang cukup kemas. Ia hadir dengan kemasan warna hitam bersama logo predator yang dihiasi kilauan lampu biru. Jika diperhatikan, terdapat perubahan pada bahagian ini di mana tiada lagi penjenamaan ‘PREDATOR’ seperti yang terdapat pada model sebelum ini.

Tiada pilihan warna lain yang ditawarkan oleh Acer untuk komputer riba ini. Kualiti binaannya juga kukuh dengan penggunaan bahan berasaskan logam secara penuh termasuk pada bahagian penutupnya, kecuali pada bahagian binaan bezelnya yang menggunakan plastik.

Jika dilihat pada bahagian sisi, binaan bezelnya nampak moden dengan rekaan yang tidak terlalu nipis dan tidak juga terlalu tebal. Namun, bahagian bezel bawah nampaknya sangat tebal tetapi rasanya ia tetap kelihatan baik. Diserikan lagi dengan penjenamaan ‘PREDATOR’ bewarna perak (silver) membuatkan komputer riba ini nampak lebih baik.

Selain itu, sebuah kamera HD 720p juga disertakan dan ditempatkan pada bahagian bingkai atas bertujuan untuk melakukan panggilan video. Terdapat juga lohong udara sebagai sistem penyejukan untuk komponen dalaman bertujuan mengekalkan prestasi komputer riba sentiasa ‘tip-top’.

Jumlah I/O yang disertakan juga cukup memadai untuk sebuah komputer riba gaming. Ia mempunyai sambungan tiga port USB 3.2 Type-A, sebuah port USB 3.1 Type-C dengan sokongan Thunderbolt 3 dan DisplayPort, port HDMI 2.0 untuk sokongan paparan tambahan, DisplayPort mini, bicu audio dan kunci Kensington. Kesemua ini dimuatkan dalam komputer riba seberat 2.1kg ini. Namun begitu, kritikan diberikan kerana tiadanya sokongan pembaca kad SD yang disertakan.

Secara keseluruhan, komputer riba ini direka dengan baik. Dengan rekaan yang nampak mewah dan binaan cukup kukuh menjadikan penulis suka akan apa yang dipersembahkan. Tetapi, tidak semuanya sempurna. Tetap ada juga kekurangannya. Tapi apa? Penulis akan bercerita lebih lanjut selepas ini.

Papan Kekunci

Komputer riba ini mempunyai susun atur papan kekunci yang baik. Ia cukup selesa digunakan untuk satu jangka masa yang lama termasuklah untuk menaip ataupun bermain permainan video. Menariknya lagi, ia turut dihiasi sokongan sistem pencahayaan RGB yang boleh diprogramkan setiap kekuncinya menerusi perisian Predator Acer Sense.

Penulis tertarik dengan pantulan dan penyesuaian pencahayaannya di mana ia memberikan satu pengalaman yang menyeronokkan. Keterangan pencahayaan ini juga memuaskan serta boleh dilaras dengan menekan butang kekunci F7 dan F8.

Sepanjang penggunaan penulis tidak mempunyai sebarang masalah untuk membiasakan diri dengan papan kekunci ini. Prestasinya dilihat responsif dan ruang antara kekunci juga terasa mencukupi untuk penggunaan yang selesa. Tetapi, setiap keselesaan pasti ada juga kekurangannya.

Inilah kelemahannya yang penulis mahu komen sedikit. Ya, papan kekunci ini memang selesa untuk digunakan. Akan tetapi, masih ada satu masalah. Peletakan butang kekunci untuk mengakses perisian Predator Acer Sense yang ditempatkan bersebelahan dengan kekunci backspace telah menimbulkan ketidakselesaan kepada penulis. Kenapa?

Sebabnya, ia sering mengakibatkan penulis kerap tersilap menekan butang. Boleh dikatakan tidak terkira entah berapa kali penulis sering tersilap tekan butang kekunci ini dan ia adalah sedikit menjengkelkan apabila keadaan ini berlaku. Bagaimanapun, lain-lain masih baik dan memuaskan.

Pad Sesentuh

Pada dasarnya, tidak banyak yang boleh dikomen mengenai pad kekuncinya. Permukaan yang licin telah memudahkan setiap pergerakan jari. Mengikut selera peribadi penulis, ia berfungsi dengan baik bersama tindak balas pengesanan jari yang tepat. Proses menatal ke semua arah juga terasa lancar tanpa sebarang masalah.

Saiznya di sini juga baik, bersama-sama butang klik yang memuaskan. Ia tidak terlalu keras seperti yang penulis temui pada komputer riba diulas sebelum ini. Apa yang boleh disimpulkan, penulis berpuas hati dengan prestasi yang dipersembahkan oleh pad sesentuh ini.

Pengalaman Penggunaan

Untuk pengalaman penggunaan sepanjang tempoh ulasan, prestasi komputer riba ini boleh dipuji. Dari segi penggunaan harian, penulis boleh katakan tiada keluhan, tiada rungutan. Kualiti paparan nampak hebat dengan warna yang terang dan tajam.

Ia juga berupaya mempersembahkan peralihan animasi dan pengalaman tontonan yang memuaskan. Akan tetapi, ia tidak menjanjikan untuk mengekalkan kontras yang sama pada sudut pandang berbeza.

Proses membuka tab yang banyak juga tidak berhadapan dengan isu lengah masa yang  ketara. Penulis juga mendapati penggunaan untuk jangka masa lama terasa memuaskan tanpa masalah haba yang melampau. Ini adalah kerana pelepasannya habanya adalah terkawal. Cuma ada masanya, bunyi kipas pada komputer riba ini kedengaran agak bising terutama apabila mod turbo diaktifkan.

Selain itu, penulis juga tidak mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengan papan kekunci pada komputer riba ini. Seperti yang penulis katakan sebelumnya, ia memberi pengalaman menaip yang memuaskan dan penulis suka akan kebolehan papan kekuncinya. Cuma, ia menjengkelkan apabila tersilap tekan kekunci akses perisian Acer Preadator Sence diletakkan pada kedudukan yang sedikit mengganggu.

Apabila keadaan ini berlaku, ia menjadikan kerja menaip sedikit terganggu. Penulis terpaksa berhenti menaip sebentar dan kembali ke laman sebelumnya untuk sambung menulis. Meskipun begitu, lama-kelamaan dan hari demi hari penulis terbiasa dengan butang kekunci ini. Bagaimana pula dengan pengalaman permainan? Penulis akan berkongsi mengenainya di bahagian ujian penanda aras.

Ujian Penanda Aras

Prestasi mengendali komputer riba ini ketika bermain permainan video juga terasa baik. Penulis sempat memainkan sejumlah permainan video untuk menguji kebolehan komputer riba seperti Apex Legends dan The Witcher 3. Di mana, pada tetapan grafik maksima permainan dilihat mampu berjalan dengan baik.

Sepanjang bermain juga penulis tidak berhadapan sebarang masalah haba melampau. Papan kekunci terasa selesa sahaja. Bukanlah tiada langsung isu memanas, tetapi ia hanya sekadar keadaan panas yang boleh diterima tanpa mengganggu prestasi permainan. Berikut adalah beberapa ujian penanda aras yang sempat penulis lakukan untuk menguji komputer riba ini.

This slideshow requires JavaScript.

Bateri

Komputer riba ini diiklankan dengan jangka hayat bateri yang bertahan sehingga 4 jam untuk sepanjang penggunaan. Namun begitu, penulis mendapati komputer riba ini hanya mampu bertahan sekitar 2 jam 30 minit sehingga 3 jam sahaja dengan satu pengecasan penuh.

Sepanjang ulasan ini, penulis menggunakannya untuk pelbagai jenis tugasan termasuklah menaip artikel, bermain permainan video, menonton video dan melayari web dengan sambungan sokongan Wi-Fi. Untuk tetapan kecerahan, penulis menggunakan kecerahan skrin sebanyak 50%.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Acer Predator Triton 500 (2020) bukan sahaja komputer riba gaming yang boleh dikategorikan sebagai antara yang terbaik. Malahan, ia juga berupaya mempamerkan prestasi yang memuaskan untuk penggunaan harian. Dengan sejumlah aspek penting yang disertakan menjadikannya berbaloi untuk dimiliki.

Akhir kata, jika anda seorang yang mementingkan kualiti, anda boleh pertimbangkan komputer riba ini. Komputer riba ini ditawarkan di Malaysia pada harga bermula RM7,999. Tetapi, jika anda ingin memiliki varian yang sama seperti penulis ini, anda boleh dapatkannya pada harga RM8,999.

PRO & KELEBIHAN

  • Reka bentuk minimalis dengan rasa premium
  • Prestasi peranti yang baik dengan pengalaman memuaskan
  • Bermain permainan video terasa lancar dengan tetapan maksima
  • Tiada isu panas melampau
  • Pantulan cahaya pada paparan terasa baik dengan warna yang terang dan tajam

KONTRA & KEKURANGAN

  • Susunan papan kekunci ada sedikit menjengkelkan
  • Sudut pandang tidak memberikan kontras yang statik
  • Tiada sokongan skrin sesentuh
  • Penawaran harga yang agak tinggi

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd