Saintis Berjaya Merawat Paru-Paru Yang Rosak Dengan Bantuan Khinzir

Saintis Berjaya Merawat Paru-Paru Yang Rosak Dengan Bantuan Khinzir

Diterbitkan pada July 15, 2020 oleh .

Antara kesan jangka panjang pesakit Covid-19 ialah parut pada tisu paru-paru selepas mereka pulih. Kapasiti paru-paru akan berkurangan berbanding sebelum dijangkiti yang boleh menimbulkan masalah kesihatan jangka panjang. Di A.S dan China, antara teknik yang diambil untuk merawat pesakit Covid-19 kritikan ialah menggantikan kedua-dua paru-paru. Ini memerlukan organ didermakan tetapi kerap kali ianya rosak sebelum pembedahan dapat dilakukan kerana kekurangan bekalan oksigen.

Oleh itu setiap organ yang didermakan adalah amat berharga untuk menyelamatkan nyawa. Tetapi di dalam kes paru-paru, hanya 28% paru-paru yang didermakan boleh digunakan walaupun selepas hanya beberapa jam dikeluarkan dari tubuh si mati. Sebuah teknik baharu yang dipelopori oleh Gordana Vunjak-Novakovic dari Columbia University menyelesaikan isu ini dengan bantuan khinzir.

Penyelidik mengambil paru-paru yang dianggap telah terlalu rosak untuk dipindahkan ke dalam tubuh manusia dan kemudian memindahkannya ke dalam tubuh seekor khinzir. Bekalan darah dari khinzir disambungkan ke paru-paru manakala bekalan oksigen pula diberikan dengan bantuan alat ventilator. Selepas hanya 24 jam, organ yang dianggap rosak menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Menurut Vunjak-Novakovic, sepasang paru-paru yang sudah dikeluarkan selama 48 dari tubuh penderma berjaya dipulihkan.

Sepanjang tempoh ini, khinzir yang menjadi haiwan tumpang kepada manusia masih dapat hidup seperti normal. Selepas organ dikeluarkan ia turut tidak menunjukkan sebarang kesan jangka masa pendek. Walaupun ujian ini menunjukkan kesan yang positif, Vunjak-Novakovic berkata masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada paru-paru yang berjaya diselamatkan kemudian boleh dipindahkan kepada tubuh manusia. Sel darah putih khinzir telah memasuki pembuluh darah paru-paru boleh mendatangkan komplikasi pada tubuh manusia.

Lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum teknik ini diiktirafkan selamat untuk memanjangkan usia paru-paru yang didermakan. Di masa hadapan, penyelidik membayangkan paru-paru yang didermakan akan disambungkan kepada sistem darah penerima dengan oksigen dibekalkan menggunakan ventilator. Selepas paru-paru berjaya dipulihkan barulah ia dipindahkan ke tubuh penerima.

Khinzir ialah haiwan pilihan sebagai analog manusia kerana saiz organ mereka yang sama dengan kita. Ia juga haiwan yang mudah diternak serta matang dengan pantas. Beberapa kajian yang kami laporkan sebelum ini mendapati organ khinzir yang telah diubah genetiknya boleh digunakan sebagai ganti organ manusia. Kertas kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Nature.



TIPS & ULASAN