Siapa sahaja yang tidak suka makan di McDonald’s? Ia adalah makanan segera yang popular, enak dan ada banyak pilihan dari burger, ayam, kentang goreng, aiskrim dan juga pelbagai pilihan kopi. McDonald’s turut mempunyai banyak cawangan di seluruh dunia dan ada juga perkhidmatan penghantaran.
Terkini di Walt Disney World Florida, McDonald’s telah membina sebuah cawangan yang sifar pencemaran (net zero). Cawangan ini menggunakan 100% tenaga solar untuk beroperasi seperti biasa dan turut akan berkhidmat sebagai lokasi menguji pengurangan penggunaan tenaga dan air. Selain daripada bumbung yang diperbuat dari panel solar, tingkap semuanya digunakan dari kaca PV, lampu pada lot parkir juga adalah menggunakan tenaga solar, ia turut mempunyai sistem tenaga berautomatik, dan sistem ventilasi udara pasif yang memastikan pengaliran udara yang baik dan mengekalkan suhu.
Cawangan ini juga sudah mula beroperasi dengan mengikut SOP PKPP negara mereka, yang mana pengunjung tidak boleh makan di sana – tetapi boleh membungkus dan pandu lalu. Di dalam cawangan ini, McD turut menyediakan basikal yang boleh dikayuh untuk menjana elektrik – agar pengguna boleh mengecas peranti mereka.