Google Chrome adalah pelayar web popular. Tetapi ia ada masalah dari dulu sehingga hari ini, iaitu menggunakan RAM yang sangat banyak – secara tidak langsung menjadikan prestasi komputer perlahan. Isu ini telah diperbaiki dengan Microsoft Edge, iaitu pelayar web dari Microsoft yang menggunakan asas dari Chromium. Tetapi, tidak ramai yang menggemari pelayar web ini dan masih ingin menggunakan Chrome.
Kemaskini Windows 10 bulan Mei, telah memperkenalkan SegmentHeap iaitu memastikan segment heap memory ditambah baik. Apa yang ia lakukan adalah mengurangkan penggunaan RAM pada perisian Win32 seperti Google Chrome. SegmentHeap ini hadir pada Windows 10 versi 2004 dan yang terkini. Microsoft Edge sudah pun menggunakan SegmentHeap ini dan menunjukkan penjimatan penggunaan RAM 27%. Pada Google Chrome, para pembangun berbincang di commit dan mereka katakan ia boleh menjimatkan ratusan MB penggunaan RAM.
Untuk kemaskini Chrome 85, Google sudah bersedia mengimplementasikan SegmentHeap tetapi dimatikan dan ditunda. Pembangun Google telah menemui yang ia benar-benar mengurangkan penggunaan RAM, tetapi ia menggunakan lebih tenaga CPU pula. Jadi buat masa ini, terpaksalah anda gunakan Chrome dengan penggunaan RAM yang banyak bagi memastikan prestasi yang hebat.