Xiaomi Youpin adalah platform di mana Xiaomi mengumpul dana untuk produk-produk dari rakan syarikat mereka. Platform ini bukan sahaja terhad kepada mengumpul dana, malah ia juga merupakan laman e-dagang yang membolehkan pengguna membeli pelbagai produk menarik lebih awal.
Terkini, mereka dilihat sedang mengumpul dana untuk QinAI. Ia adalah telefon bimbit dengan integrasi XiaoAi untuk kanak-kanak. Penggunaan telefon ini adalah sangat terhad dengan skrin kecil dengan paparan 240 x 240, butang seakan GameBoy, Bluetooth 4.2, sokongan eSIM 4G, GPS, WiFi dan bateri 1150mAh. QinAI ini adalah untuk ibu bapa tambatkan pada peranti mereka agar mudah menjejak anak-anak, berhubung dengan rakan atau mesej suara.
Ia dilihat turut mempunyai penggera, agar mudah untuk mengingatkan anak-anak bila waktu untuk tidur, pulang ke rumah dari bermain dengan rakan-rakan. Peranti seperti ini adalah bagus sekali, bagi mendidik anak membiasakan diri dengan dunia teknologi yang kini banyak menggunakan arahan suara. Harga jualan adalah RMB 399, iaitu sekitar RM243.