Cari @ Amanz

Set fon kepala nirwayar dengan pembatalan hingar aktif terdapat banyak pilihan di pasaran, dari yang murah sehinggalah yang gila mahal. Paling popular dan menjadi kegemaran kami di Amanz adalah Sony WH-1000XM3. Selepas Sony hadir dengan set fon kepala ini, lebih banyak syarikaty berlumba-lumba hadir dengan pesaing bagi menambah pilihan kepada pengguna.

Terkini, Mobvoi pula hadir dengan set fon kepala nirwayar dengan pembatalan hingar aktif. Bukan itu sahaja, ini juga merupakan set fon kepala pertama mereka selepas hadir dengan beberapa variasi aksesori audio dan jam tangan pintar. Set fon kepala ini adalah TicKasa ANC.

TicKasa ANC menggunakan cip Qualcomm QCC3031 yang memberikan sokongan Bluetooth 5.0 dan aptX HD. Selain itu, ia turut menggunakan pemacu audio 40mm, lima mikrofon terbina untuk pembatalan hingar sehingga -32dB dan pengecaman vokal yang baik. Untuk bateri, mereka menyertakan saiz 800mAh dan mampu bertahan selama 20 jam pada tetapan pembatalan hingar aktif dan aras suara 50%. Manakala tanpa pembatalan hingar aktif, ia boleh bertahan selama 30 jam.

Paling mengecewakan pada TicKasa ANC adalah ia masih menggunakan port microUSB untuk mengecas dan mengambil masa selama 4 jam untuk dicas sehingga penuh. Tetapi, itulah pengorbanan yang patut dilakukan pada set fon kepada dengan pembatalan hingar aktif yang mampu milik. Harga jualannya hanyalah $129.99, iaitu sekitar RM554 sahaja dan ia boleh dibeli bermula hari ini dan turut boleh dihantar ke Malaysia.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd