Twitter Menghalang Kesemua Akaun Verified Dari Menghantar Ciapan

Twitter Menghalang Kesemua Akaun Verified Dari Menghantar Ciapan

Diterbitkan pada July 16, 2020 oleh .

Twitter pagi ini mengambil langkah drastik menghalang kesemua akaun yang telah menjalani proses pengesahan verified dari menghantar ciapan selepas beberapa akaun pengguna terkenal digodam. Beberapa jam yang lalu akaun milik Elon Musk, Bill Gates, Kanye West, Uber dan Apple didapati menghantar ciapan promosi dengan pautan ke laman Bitcoin.

Akibat godaman secara besar-besaran dari pelbagai akaun ini berlaku, Twitter terus menghalang ciapan dari kesemua akaun sebagai langkah keselamatan. Pemilik akaun juga tidak dibenarkan dari meminta penukaran kata laluan buat masa ini sehingga pihak Twitter menemui kelemahan pada sistem yang menyebabkan akaun-akaun rasmi berjaya digodam dengan mudah.

Jadi janganlah terkejut apabila melihat tiada ciapan dihantar dari akaun selebriti, artis dan media kegemaran anda pagi ini. Beberapa akaun media terkemuka kini terpaksa menghantar ciapan menerusi akaun kakitangan yang masih belum menjalani proses pengesahan identiti sebagai langkah sementara.

Kemas kini 8:40 pagi – Pengguna dengan akaun yang telah disahkan kini dibenarkan semula menghantar ciapan selepas dihalang hampir tiga jam.



TIPS & ULASAN