Pandemik menyerlah kekurangan kita yang kebanyakannya tidak bersedia untuk melakukan kerja dari rumah. Capaian internet yang terhad serta kekurangan peranti menyebabkan ramai pelajar sekolah dan universiti keciciran sejak lebih 100 hari PKP dikuatkuasakan. Oleh itu peranti khusus untuk telesidang mula dilancarkan secara meluas. Sebagai platform telesidang paling popular sepanjang pandemik, Zoom juga tidak ketinggalan melancarkan peranti mereka yang tersendiri.
Zoom for Home – DTEN ME ialah sebuah skrin pintar sebesar 27″ LED HD penuh yang dilengkapi tiga kamera. Ia direka khusus untuk mempermudahkan proses memulakan atau menyertai sesi telesidang zoom. Dengan tri-kamera utama, pengguna tidak perlu risau tentang kualiti video. Lapan mikrofonnya pula memastikan audio juga setanding visual dengan pembatalan hingar.
Sistem operasi DTEN OS digunakan untuk menjalankan peranti. Sambungan internet boleh dilakukan menerusi LAN dan juga WiFI. Apabila tidak digunakan untuk sesi telesidang, Zoom for Home – DTEN ME boleh berfungsi sebagai skrin komputer dengan satu input HDMI.
Kesemua kelengkapan ini dimasukkan ke dalam tubuh sebesar 616mm x 391mm x 104mm dan seberat 6.5 kg. Zoom for Home – DTEN ME hanya ditawarkan kepada pengguna di Amerika Syarikat terlebih dahulu pada harga $599 (~RM2555) sebuah.