Boleh dikatakan bahawa industri penstriman sudah sarat dengan pelbagai jenis perkhidmatan seperti Netflix, iFlix, WeTV, AppleTV Dan sebagainya. Terkini, Sutera Hijau Ventures Bhd bakal melancarkan Nurflix tidak lama lagi dimana ia akan menyasarkan kepada penawaran kandungan kreatif Islamik dan patuh syariah.
Menariknya, Nurflix dikatakan akan dikuasakan sepenuhnya dengan kandungan eksklusif yang khusus untuk platform berkenaan. Buat masa ini, sebanyak 12 tajuk siri telah diumumkan, dan mereka menyasarkan untuk membelanjakan sekitar RM40 juta untuk tujuan berkenaan. Diantara tajuk-tajuk yang diperlihatkan sewaktu acara pelancaran perkhidmatan ini termasuklah Kembara Mahsyar, The Call, Abdullah, The Khadijahs dan sebagainya yang ditulis dan dibintangi oleh nama-nama yang cukup terkenal di dalam industri televisyen dan filem tempatan.
Dalam pada itu, Nurflix juga akan memperkenalkan klasifikasi-klasifikasi baru termasuklah untuk tatapan Umum, Wanita, Sarjana dan Kanak-kanak. Syah Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix.TV mengatakan beliau menjangkakan Nurflix akan dapat hadir dengan 1000 tajuk kandungan eksklusif dalam masa 5 tahun lagi.
Nurflix akan memulakan ujian beta pada bulan Oktober sehingga Disember dan akan dilancarkan secara rasmi pada tarikh yang akan diumumkan di masa hadapan. Nurflix akan ditawarkan secara percuma untuk tempoh tiga bulan berkenaan – dan akan mendapatkan lebih maklumbalas dalam terus menambah-baik platform mereka untuk tatapan masyarakat umum.
- Info
- Layari : Nurflix.tv