JEDEC, badan piawaian dibelakang spesifikasi memori yang digunakan dalam komputer dan peranti-peranti elektronik yang digunakan hari ini baru sahaja menetapkan spesifikasi memori DDR5 yang akan digunakan di masa akan datang.
Secara asasnya, memori DDR5 bukan sahaja akan tiba dengan kelajuan jauh lebih pantas berbanding dengan DDR4, malah akan mempunyai ketumpatan jumlah memori yang jauh lebih tinggi berbanding dengan apa yang boleh dimuatkan setakat ini.
Dengan memori DDR5, kelajuan memori secara teorinya boleh digerakkan sepantas 6.4Gbps, manakala jumlah memori dalam satu batang memori DDR5 boleh dimuatkan sebanyak 2TB.
Walaupun begitu, buat masa ini ia hanyalah nilai-nilai yang mampu disokong oleh format memori ini. Teknologi sekarang masih belum mampu membangunkan memori yang besar seperti itu, tetapi itu dijangka berubah apabila teknologi DDR5 ini semakin matang setiap tahun.
Rekaan memori DDR5 ini akan dilihat sama pada mulanya, tetapi menurut JEDEC, aturan pin untuk modul memori DDR5 ini adalah berbeza untuk memuatkan semua kemampuan baru memori ini dan ia tidak serasi dengan slot memori DDR4 sekarang.
Menurut JEDEC, memori DDR5 sedang disampel oleh pelbagai syarikat sekarang, dan ia dijangka akan digunakan dengan lebih meluas dalam jangkamasa 12-18 bulan.