Kalau kita perasan, segmen tablet kini semakin diterima baik oleh para pengguna. Pada masa ini, kita juga dapat lihat pelbagai pilihan tablet menarik yang terdapat di pasaran. Honor dalam diam-diam kini menambah lagi penawaran produknya di bawah segmen ini dengan memperkenalkan Honor Tab 6 Dan Honor Tab X6 di China.
Honor Tab 6 membawakan paparan bersaiz 10.1-inci dengan resolusi 1920 x 1200 piksel. Salah satu titik utama jualannya terletak pada sokongan sistem audio Histen 6.1 yang memberikan kualiti bunyi lebih baik. Tunjang utama peranti ini dilengkapi pemproses Kirin 710A dengan gabungan memori sehingga 4GB RAM dan storan sehingga 128GB.
Melengkapi peranti juga adalah kamera utama 5-Megapixel, kamera swafoto 2-Megapixel, bateri 5,100mAh (USB-C) dan perisian Magic UI 3.1 berasaskan Android 10 terkini. Harga jualannya adalah bermula RMB 1,299 (~RM792)
Honor Tab X6 pula hadir skrin 9.7-inci dengan resolusi lebih rendah iaitu 1200 x 800 piksel. Tunjang utama turut menggunakan pemposes Kirin 710A yang digandingkan dengan memori sehingga 4GB RAM dan storan sehingga 64GB. Tablet ini turut dilengkapi dengan kamera utama tunggal 5-Mgepixel, kamera hadapan 2-Megapixel dan bateri sebesar 5,100mAh melalui pengecasan USB-C. Untuk ketersediaan, peranti ini ditawarkan pada harga bermula RMB 1,099 (~RM670)