Pesona dan aura siri Asus ROG Phone sememangnya sangat tersendiri dan ia sering dipuji ramai kerana menawarkan spesifikasi berkuasa tinggi. Kini, ramai yang teruja dan tidak sabar menunggu kemunculan pewaris terbaru mereka, Asus ROG Phone 3 yang dijadualkan muncul pada 22 Julai ini.
Jika sebelum ini, peranti ini hanya diperlihatkan dalam video ringkas. Kali ini, imej pengolokan rasmi telah tertiris sekaligus memberi gambaran lebih jelas mengenai rekaannya. Jika diperhatikan betul-betul, tidak banyak perubahan yang dibuat pada reka bentuk asasnya.
Panel belakang masih terdapat logo ROG dengan pencahayaan LED berwarna merah. Perletakan dan susun atur modul kamera belakang juga masih sama, cuma bezanya model kali ini menyokong tiga kamera dengan lensa utama 48-Megapixel.
Butang laras bunyi dan kuasa terletak pada sisi kanan seperti pendahulunya, ROG Phone 2. Kita juga dapat lihat lohong udara masih ada, namun belum dapat dipastikan lagi dengan jelas. Untuk ketahui lebih lanjut, kita tunggu pelancaran rasmi kelak.