Asia Ialah Rantau Dengan Pasaran Esukan Terbesar Dunia Dan Tidak Terjejas Akibat Covid-19

Asia Ialah Rantau Dengan Pasaran Esukan Terbesar Dunia Dan Tidak Terjejas Akibat Covid-19

Diterbitkan pada July 17, 2020 oleh .

Esukan ialah fenomena yang tidak dijangka kerana permainan video selama ini dipandang sebagai hobi yang sia-sia dan hanyalah untuk kanak-kanak. Namun dengan kepopularan permainan video seperti Dota 2, PUBG dan Starcraft 2, menjadi atlet esukan dilihat sebagai kerjaya yang menguntungkan. China yang merupakan negara yang terkenal dengan kebencian dengan permainan video suatu ketika dahulu sehingga jualan konsol diharamkan kini menganggap menjadi atlet esukan sebagai kerjaya.

Tetapi sejauh manakah sumbangan Asia kepada industri esukan global? Google telah berkongsi data terkini yang dikumpul bersama Niko Partners hari ini yang mengesahkan betapa pentingya Asia. Di Asia dianggarkan terdapat lebih 1.5 bilion insan yang dikategorikan sebagai gamer. Ini tidak mengejutkan kerana esukan itu sendiri diasaskan di Korea Selatan pada tahun 2000 dan sukan SEA 2019 ialah temasya pertama dengan acara esukan yang menerima pengiktirafan Majlis Olimpik Antarabangsa.

Antara faktor menyumbang kepada kepopularan permainan video di Asia ialah kewujudan infrastruktur yang baik. Budaya kafe siber untuk permainan video telah wujud di Malaysia misalnya sejak awal milenium. Akses kepada Internet jalur lebar yang pantas juga mempopularkan permainan atas talian. Bukan rahsia Korea Selatan ialah negara dengan kelajuan purata Internet terpantas global dan kini dengan 5G, ini turut dapat dinikmati pada  telefon pintar.

Dunia masih sedang bertarung dengan Covid-19 sehingga menyebabkan ekonomi menyusut dan pelbagai industri terjejas. Sebaliknya dunia esukan tidak terjejas dengan trend sebaliknya berlaku. Di Asia masa yang dihabiskan pada permainan video meningkat di antara 50-75%. Masa tontonan penstriman permainan video di China pula melonjak 75-100%.

Maka apakah hala tuju esukan di Asia? Dari data yang dikumpul jelas masa depannya amat cerah. Tahun lalu 68% pendapatan esukan pada peranti mudah alih yang bernilai $13 bilion pada tahun 2019 disumbang oleh Asia. Potensinya adalah amat baik apabila melihat jumlah peminat permua di Asia Tenggara adalah 50% lebih tinggi berbanding PC.

Di Malaysia sudah ada beberapa atlet esukan yang kini dikenali ramai sehingga muncul di kaca TV. Beberapa pasukan esukan juga mengharumkan naga negara di dalam pertandingan permua. Dua tahun yang lalu inisiatif kerajaan memartabatkan esukan di Malaysia menerima kritikan teruk kerana peruntukan RM20 juta dianggap membazir. Tetapi jelas sekarang negara kita mempunyai ramai atlet esukan berbakat dan ini tidak seharusnya disia-siakan.



TIPS & ULASAN