British Airways Menghentikan Penggunaan Boeing 747 Serta Merta Akibat Covid-19

British Airways Menghentikan Penggunaan Boeing 747 Serta Merta Akibat Covid-19

Diterbitkan pada July 19, 2020 oleh .

Boeing 747 ialah pesawat yang diberi nama jolokan Jumbo sejak diperkenalkan pada lebih 50 tahun yang lalu. Ia bertanggungjawab mendemokrasikan perjalanan udara untuk orang ramai dan hanya menerima cabaran selepas A380 beroperasi 13 tahun lalu. Tetapi minggu ini British Airways melakukan pengumuman rasmi menghentikan penggunaan Boeing 747-400 milik mereka akibat wabak Covid-19.

Dengan 31 pesawat, British Airways ialah syarikat penerbangan dengan armada Boeing 747 terbesar di dunia. Ini menandakan berakhirnya era Jumbo British Airways yang menggunakan pesawat ini sejak 1971. Akibat Covid-19, jumlah penumpang udara diramalkan akan hanya kembali kepada normal menjelang 2024. Pesawat besar dan berusia seperti Boeing 747 dan Airbus A380 tidak lagi menguntungkan untuk digunakan dalam dunia norma baharu.

Ia mula digantikan dengan Boeing 787 dan Airbus A350 yang membawa jumlah penumpang yang lebih kecil dan enjin yang lebih menjimatkan penggunaan bahan api. Hanya sebulan yang lalu Boeing menghentikan pengeluaran Boeing 747 manakala Airbus akan menghentikan pengeluaran A380 pada tahuh 2021 selepas kesemua pesanan habis dihantar.

Terdapat banyak ramalan dilakukan tentang dunia pasca Covid-19 tetapi kematian pesawat penumpang gergasi bukan salah satu yang kami jangka. Seperti pesawat penumpang supersonik, pesawat penumpang gergasi dengan kapasiti besar juga akan memasuki lipatan sejarah.



TIPS & ULASAN