KFC Akan Menggunakan Teknologi Cetakan-Bio Untuk Menghasilkan Nugget Ayam

KFC Akan Menggunakan Teknologi Cetakan-Bio Untuk Menghasilkan Nugget Ayam

Diterbitkan pada July 20, 2020 oleh .

Setiap tahun jutaan ayam dikorbankan oleh manusia untuk dijadikan sumber makanan. Kesemua ayam ini dibesarkan di dalam ladang ternakan ayam yang menjadi sumber pencemaran air dan bau. Kentucky Fried Chicken hujung minggu lalu mengumumkan mereka akan menggunakan teknik cetakan-bio untuk menghasilkan nugget ayam bagi mengurangkan pencemaran.

KFC bekerjasama dengan firma 3D Bioprinting Solutions dari Rusia untuk menghasilkan “daging masa hadapan” yang dicetak dari sel haiwan dan juga bahan tumbuh-tumbuhan. Menerusi teknik ini, daging ayam buatan manusia yang mempunyai tekstur dan rasa seperti daging ayam sebenar diharap dapat dihasilkan.

Impak ke atas alam sekitar adalah besar kerana penggunaan tenaga dipotong separuh, gas rumah hijau berkurangan 25 kali ganda dan jumlah tanah untuk menghasilkan daging berkurangan 100 kali ganda.

Ini ialah usaha kedua KFC untuk mengurangkan impak produk mereka kepada alam sekitar. Awal tahun ini mereka mula menawarkan nugget ayam Beyond Chicken yang diperbuat sepenuhnya dari tumbuh-tumbuhan di Amerika Syarikat. Tetapi bagi mereka yang pernah merasa daging yang diperbuat daripada sayur-sayuran, tekstur dan rasa akan berubah apabila ianya mula sejuk. Sekiranya semua berjalan lancar, nugget ayam cetakan-bio akan mula dijual di Rusia tahun ini.

Adakah anda bersedia untuk memakan ayam cetakan-bio yang tidak mendatangkan impak besar ke atas alam sekitar? Persoalannya bagi sama ada ia masih hala ataupun tidak kerana menggunakan sel ayam sebenar.



Paling Popular