Carian
Pandang Pertama Redmi K30i 5G – Peranti Snapdragon 765G Termurah!
July 20, 2020 Fahim Zahar

Pasaran China dan Malaysia jauh berbeza. Di China, banyak jenama yang berlumba-lumba dengan pembunuh peranti mercu seperti iQoo, Red Magic, Xiaomi dan Redmi. Ada peranti yang masuk ke pasaran Malaysia dan ada peranti yang terhad di China sahaja. Salah satu perang telefon pintar selain daripada peranti mercu adalah perang peranti 5G, lebih-lebih lagi yang dijana Snapdragon 765G.

Kita ada HTC U20, Vivo X50, Vivo X50 Pro, Realme X50, Redmi K30i, Mi 10 Lite, Vivo iQOO Z1X, Oppo Reno4 Pro (China) dan banyak lagi. Harga juga ada yang mahal dan sangat murah. Seperti biasa, iQOO kini antara yang termurah dan bersaing sengit dengan Redmi. Syukur, kami di Amanz dapat mencuba peranti Redmi K30i – iaitu peranti yang berada di tengah-tengah antara Redmi K30 dan Redmi K30 5G. Ia adalah antara peranti 5G termurah yang pernah kami cuba dan ia dijana Snapdragon 765G, ini adalah pandang pertama kami.


Spesifikasi & Rekaan

Redmi K30i
Skrin 6.67″, IPS LCD, FHD+, Gorilla Glass 5,
HDR10, 120Hz
Pemproses Snapdragon 765G, 7nm
Cip 1×2.4 GHz Kryo 475 Prime
1×2.2 GHz Kryo 475 Gold
6×1.8 GHz Kryo 475 Silver
Cip Grafik Adreno 620
RAM 6/8 Gigabyte
Muatan Dalaman 128/256 GB UFS 2.1
Kamera Utama 48 MP, f/1.9, (utama)
8 MP, f/2.2, 120˚ (sudut ultra lebar)
2 MP, f/2.4, (makro)
2 MP, f/2.4, (kedalaman)
Kamera Depan 20 MP, f/2.2, (utama)
2 MP, f/2.4, (kedalaman)
Bateri 4800mAh
(Berwayar pantas 30W)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Cap jari fizikal di sisi
Harga Jualan ~RM944-RM1260

Redmi K30i menggunakan skrin IPS LCD bersaiz 6.67-inci, menggunakan perlindungan Gorilla Glass 5, menyokong HDR10, mempunyai kadar segar semula tinggi 120Hz dan resolusi FHD+. Skrinnya cantik sekali untuk peranti yang menggunakan LCD dan mempunyai warna yang tajam, tetapi butiran kurang dipelihara dan akan ada masalah tersekat kadangkala. Tetapi kami yakin, ia boleh diperbaiki dengan kemaskini kelak. Skrin 120Hz dan juga mengambil masa beberapa kali reboot dan sekitar 30-minit penggunaan barulah ia berfungsi dengan baik.

Peranti ini dijana dengan Snapdragon 765G dan dipadankan dengan pilihan memori 6GB atau 8GB RAM dan storan dalaman 128GB atau 256GB berasaskan UFS 2.1. Jelas sekali, pemproses ini pantas dan cukup berkuasa untuk peranti kelas pertengahan permulaan. Tetapi storan UFS 2.1 ini tidak padan dan memasang aplikasi, membuka aplikasi akan mengambil masa yang sedikit lama. Cip grafik adalah Adreno 620 yang mana cukup baik untuk bermain permua pada tetapan yang tinggi. Tetapi, tidak pasti kenapa COD Mobile mempunyai masalah lengah masa apabila karakter mati. Permua Temple Run 2 walau bagaimanapun, sangat lancar dan pantas – jelas sekali ia berjalan pada kadar segar semula yang tinggi.

Untuk kamera, peranti ini menggunakan 48MP (utama), f/1.9, + 8MP (sudut ultra lebat), f/2.2 dengan sudut pandangan 120˚ + 2MP (makro) f/2.4 + 2MP (kedalaman), f/2,4 dan dwi-kamera swafoto dari lensa 20MP. f/2.2 + 2MP, f/2.4 (kedalaman). Fokus peranti ini jelas sekali untuk golongan mudah atau mereka yang baru ingin memasuki arena fotografi telefon pintar dan mula bermain permua. Kerana penggunaan keseluruhan adalah stabil dari prestasi ke kamera.

Melengkapi spesifikasi peranti ini adalah dengan bateri 4800mAh dengan sokongan pengecasan pantas 30W, NFC, sensor infra merah, sekuriti imbasan cap jari fizikal di sisi dan bahan binaan yang terasa murah.

Butang kuasa turut bertindak sebagai pengimbas jari dan butang aras suara berada di sisi kiri, sisi kanan hanya terdapat slot kad sim, atas adalah mikrofon dan sensor infra merah dan di bahagian bawah mempunyai kekisi pembesar suara mono, mikrofon dan juga bicu audio 3.5mm. Rekaan keseluruhan adalah mirip dengan K30 dan K30 5G yang sebelum ini. Membezakan dua peranti ini yang paling jelas adalah penggunaan warna berbeza sahaja.

Prestasi, Skor Tanda Aras & Antaramuka

Sebaik sahaja peranti ini dihidupkan, ia menjalankan MIUI 11 versi China dan boleh terus kemaskini kepada MIUI 12. Ia menggunakan Android 10 dan kebanyakan fungsi dan ciri MIUI 12 pada peranti mercu mereka terdapat pada peranti ini. Prestasi pada awal lancar sahaja, tetapi langsung tidak rasa seakan skrin 120Hz. Ia mengambil masa yang lama untuk sistem membiasakan dengan peranti dan tatalan yang lancar dan animasi yang pantas barulah terasa. Membuat multi-tugasan juga tiada masalah dan membuka banyak aplikasi juga baik-baik sahaja. Cuma, pengurusan memori yang sangat ekstrem menjadikan banyak aplikasi perlu memuat semula.

Kami hanya dapat menggunakan peranti ini satu hari sahaja, jadi dari segi prestasi tidak banyak yang boleh diuji. Seperti yang kami sebutkan tadi, permua pada tetapan tinggi seperti COD Mobile tiada masalah kecuali di saat watak mula mati. Skrin juga baik sekali, tetapi butiran pecah-pecah dan audio pula adalah mono yang mana tidak hebat mana tetapi kuat.

Antaramuka peranti ini adalah yang paling memuaskan dan mudah diuruskan. Xiaomi membuktikan yang sistem operasi mereka mesra pada semua variasi peranti tidak kira kelas apa. Apa yang anda alami pada mana-mana peranti Xiaomi atau Redmi dengan MIUI 12, yang itulah anda akan rasai pada Redmi K30i. Penggunaan font sekata, animasi yang cantik apabila menatal, membuang aplikasi dan banyak lagi. Tetapan juga direka dengan ikon besar dan mudah dilihat dan mirip gabungan iOS dan Android 11.

Penanda aras pada peranti ini dilihat mirip dengan banyak peranti Snapdragon 765G yang pernah kami uji. Skor AnTuTu memaparkan 323451 dan Geekbench 5 pula adalah 605/1858 untuk satu teras dan multi-teras. Bukan yang terbaik tetapi sesuai dengan harga dan dalam kelasnya.

Redmi K30i juga adalah peranti 5G, tetapi di Malaysia masih tiada rangkaian 5G untuk pengguna biasa jadi ia tidak boleh diuji. Unit ini dibeli dari Xiaomi China dan Xiaomi turut berikan kad SIM 5G percuma. Jelas yang perang peranti 5G di China adalah sangat serius. Xiaomi ada pelan telco mereka yang tersendiri, jadi tidak menjadi masalah untuk sediakan pelan 5G untuk pembeli. Ini adalah kekurangan dengan jenama lain yang perlu bergantung dengan syarikat telco luar.

Kamera

Kamera peranti ini agak bagus. Lensa utama mampu mengambil gambar dalam keadaan yang baik sekali, jelas, terang serta dengan butiran yang baik. Tetapi, ia masih jelas kelihatan dilembutkan oleh perisian dan butiran tidak begitu jitu berbanding apa yang mata kita lihat. Dalam cahaya yang mencukupi, hasil gambar 2x zum juga baik sekali, tetapi sayang sekali, lensa sudut ultra lebar dilihat kurang menarik dan setaraf dengan peranti Xiaomi lain dalam kategori harga yang sama.

Mod potret adalah cantik, butiran ada, tetapi kesan kabur hanya kadangkala sahaja kemas. MIUI 12 juga turut menyediakan beberapa fungsi menarik seperti pelbagai penuras dan juga mod clone. Pada video pula ada banyak tetapan yang boleh dilakukan termasuk mod khusus untuk vlog yang mana video yang dirakam akan disunting.

Kesimpulan

Redmi K30i ini dijual pada harga RMB1,499 (~RM914) untuk 6/128 GB, RMB1,799 (~RM1096) untuk 8/128GB dan RMB1,999 (~RM1218) untuk 8/256 GB. Unit yang kami uji ini adalah 8/256 GB dan berwarna Deap Sea Shimmer atau warna cerun biru. Untuk peranti 5G dan Snapdragon 765G yang bermula pada harga sekitar RM900, ia adalah sangat berbaloi dimiliki. Apa yang anda beli pada harga itu, itulah yang akan anda terima.

Skrin LCD dengan HDR10 + 120Hz, kamera 48MP yang menarik dan cukup cantik, bateri besar dengan pegecasan pantas dan sokongan 5G yang menjamin ketahanan jangka masa panjang. Prestasi juga baik, walaupun ada sedikit masalah – tetapi bukannya serius dan sesuai dalam kelasnya. Sayang sekali, peranti murah seperti ini besar kemungkinan tidak akan memasuki pasaran tempatan secara rasmi. Kelak, peranti Snapdragon 765G di Malaysia ini pasti akan melangkaui RM2000.

Komen