802.11ax ataupun WiFi 6 ialah piawaian sambungan Internet nirwayar terbaru yang menjanjikan kadar penghantaran data yang lebih laju tanpa perlu bergantung kepada kabel ethernet yang cukup sukar untuk dipasang secara kemas.
Penghala-penghala WiFi 6 yang diperkenalkan sebelum ini oleh jenama-jenama terkemuka seperti ASUS, Netgear, TP-Link dan sebagainya boleh dikatakan sangat berkemampuan tetapi mempunyai tanda harga yang sangat tinggi sehinggakan anda boleh membeli sebuah komputer.
Huawei baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah penghala WiFi 6 baru yang bukan sahaja dilihat tiba dengan kelajuan rangkaian tinggi, tetapi juga hadir dengan ciri-ciri tambahan yang cukup menarik pada tanda harga yang sangat mampu milik.
Ini adalah ulasan kami mengenai penghala WiFi 6 Huawei WiFi AX3.
Rekaan
Tidak seperti banyak rekaan penghala yang berada di pasaran sekarang, rekaan penghala Huawei WiFi AX3 boleh dikatakan agak ringkas dan minimalis.
Dengan rangka berbentuk segi empat tepat dan empat antena terpasang, penghala ini mampu mengisi ruang sekitar 1300 kaki persegi dengan gelombang WiFi tanpa sebarang masalah.
Di bahagian belakang penghala WiFi AX3 ini terdapat empat palam RJ-45 dimana salah satu daripadanya ialah palam WAN yang meyambungkan penghala ini kepada modem manakala tiga lagi adalah palam LAN dengan kemampuan untuk menyokong sambungan internet sepantas 1.0Gbps.
Dalam pada itu, penghala WiFi AX3 ini mempunyai butang H di bahagian atas yang boleh ditekan untuk menggunakan penghala ini sebagai pelanjut rangkaian (WiFi Extender) yang membesarkan kawasan liputan rangkaian jika anda duduk didalam rumah ataupun bekerja di pejabat yang besar.
Satu ciri menarik pada Huawei WiFi AX3 ini ialah kebolehan untuk menyambungkan peranti pintar kepada rangkaian menggunakan NFC sahaja. Ini sangat berguna untuk pelawat yang menggunakan peranti Android yang menyokong teknologi tersebut.
Pemasangan
Pemasangan penghala Huawei WiFi AX3 ini juga cukup mudah. Pengguna hanya perlu memasang penghala kepada sumber kuasa dan sebuah kabel RJ-45 kepada palam WAN, dan melalui alamat URL yang diberi dibawah penghala, anda boleh terus memasukkan butiran akaun internet anda dengan cepat.
Selain daripada menggunakan komputer, anda juga boleh menggunakan peranti mudah-alih kerana antaramuka tetapan penghala ini telah direka untuk memudahkan pengguna untuk memasukkan butiran melalui peranti pintar juga.
Untuk pelanggan ISP Unifi dan Maxis, penghala Huawei WiFi AX3 ini hadir dengan tetapan VLAN yang boleh dipilih terus. Untuk pelanggan Time pula, anda boleh mengendahkan tetapan tersebut dan masukkan sahaja kata nama dan laluan ISP anda.
Pengguna boleh memilih untuk menetapkan rangkaian menggunakan beberapa jenis tahap frekuensi. Ini termasuklah 2.4GHz, 5GHz dan gabungan kedua-dua frekuensi tersebut.
Bercakap sedikit mengenai frekuensi-frekuensi ini, frekuensi 2.4GHz disokong oleh pelbagai jenis peranti dan digunakan secara meluas. Kekurangannya disini ialah kelajuan internet pada frekuensi ini tidak begitu laju, dan frekuensi 2.4GHz ini sarat digunakan oleh banyak penghala lain dan mungkin akan menjejaskan penglihatan peranti anda apabila mencari rangkaian anda sendiri.
Frekuensi 5GHz diperkenalkan dan hadir dengan kelajuan internet yang lebih pantas dan sokongan untuk peranti lebih banyak. Walaupun begitu, satu kekurangan yang dapat dilihat dengan menggunakan frekuensi ini ialah jarak rangkaian tidak seluas 2.4GHz, dan frekuensi ini tidak disokong oleh peranti-peranti yang lebih tua dari beberapa tahun.
Dengan penghala WiFi AX3 ini, pengguna juga boleh memilih untuk menetapkan rangkaian menggunakan mixed-mode yang menggabungkan frekuensi 5GHz dan 2.4GHz ini untuk mendapatkan sambungan paling pantas selama yang mungkin.
Melalui menu tetapan penghala ini juga, pengguna boleh mengehadkan kelajuan peranti secara asas jika anda tidak mahu peranti-peranti tersebut menggunakan bandwidth terlalu banyak.
Sayangnya, satu isu ialah beberapa tetapan seperti saluran WiFi dan had kelajuan peranti tidak boleh ditukar secara manual. Penghala WiFi AX3 ini dikatakan menggunakan kecerdasan buatan untuk mengubahsuai semua tetapan ini secara automatik.
Prestasi
Kami menguji penghala Huawei WiFi AX3 ini didalam dua senario, iaitu senario rumah kecil dengan 1-2 penghuni, dan senario pejabat kecil yang mempunyai sekitar 20 pekerja dan bilangan peranti yang agak banyak.
Satu pemalar yang kami tetapkan didalam ujian ini ialah keluasan kawasan ujian ini. Pejabat Amanz yang bersaiz sekitar 1300 kaki persegi digunakan dan kawasan ujian ditetapkan pada jarak dalam lingkungan 10 meter dari penghala tersebut. Halangan dinding juga diminimakan untuk memastikan kami mendapat kelajuan internet optimum.
Dari segi lingkungan dan kualiti rangkaian, penghala Huawei WiFi AX3 ini boleh meliputi keseluruhan kawasan pejabat kami pada frekuensi 2.4GHz mahupun 5GHz tanpa masalah.
Satu lagi pemalar ialah sambungan Internet yang digunakan ialah Time Internet dengan sambungan internet sepantas 1Gbps untuk memastikan sambungan internet adalah sama untuk kedua-dua senario yang diuji.
Kami mulakan senario pertama, iaitu menguji kelajuan internet dalam sebuah rumah bersaiz sederhana dengan beberapa peranti sahaja. Kami menggunakan peranti-peranti dan komputer riba yang disahkan menyokong sambungan WiFi 6 untuk mendapatkan sambungan internet melalui WiFi yang paling laju.
Melalui laman web penanda-aras Fast.com dan Speedtest.net, kami mampu mendapatkan kelajuan sepantas 580Mbps dan 544Mbps menggunakan komputer riba dan sekitar 240Mbps dan 250Mbps apabila menggunakan peranti pintar.
Kelajuan ini kami dapati apabila menyambung peranti-peranti ini kepada rangkaian WiFi AX3 menggunakan frekuensi 5GHz. Kelajuan tersebut menurun ke sekitar 250Mbps-300Mbps untuk komputer riba dan sekitar 150Mbps dan 200Mbps untuk peranti pintar apabila berpindah ke sebuah bilik dengan dinding yang menghalang penglihatan terus ke penghala tersebut.
Kami juga menguji kemampuan memuat-turun permainan melalui platform permainan Steam menggunakan rangkaian ini. Kami memuat-turun permainan Shadow of The Tomb Raider, dan pada kelajuan purata 50MB/s, kami mampu memuat-turun permainan ini dalam masa sekitar 10 minit sahaja tanpa sebarang masalah.
Menstrim kandungan pada resolusi tinggi seperti 1080p, 1440p, dan 4K melalui YouTube juga tiada masalah sela-masa awal menggunakan mana-mana peranti. Kami dapat menikmati sebarang kandungan beresolusi tinggi tanpa masalah dengan rangkaian WiFi 5GHz.
Beralih kepada rangkaian 2.4GHz pula, muat-turun fail melalui rangkaian ini terhad kepada 10-20MB/s yang masih lagi cukup pantas, tetapi seperti yang dijangka, tidak sepantas jika memuat-turun menggunakan rangkaian 5GHz.
Kemudian kami beralih kepada senario kedua, iaitu di pejabat dengan jumlah pengguna dan peranti yang banyak. Akibat ini, ternyata penghala WiF AX3 hadir dengan kelajuan internet yang lebih perlahan, sekitar 50-100Mbps melalui rangkaian 5GHz yang tidaklah terlalu teruk.
Bagi kami, kelajuan rangkaian internet dalam situasi ini tidaklah begitu teruk. Kelajuan muat-turun laman web, fail-fail, dan penstriman video bukan satu masalah.
Memuat-naik dan turun fail daripada NAS kami sama seperti sebelum ini. Ini kami telahpun jangkakan kerana kerana kadar penghantaran data dalam rangkaian tidak terjejas dengan jumlah sambungan didalam rangkaian.
Satu lagi isu yang kadang-kala membelenggu kami didalam senario pejabat ini ialah isu peranti terputus daripada rangkaian secara rawak. Kami jangkakan bahawa ini adalah kerana terdapat terlalu banyak peranti yang bersambung kepada penghala ini pada masa yang sama.
Isu ini dapat dilihat pada kedua-dua komputer ataupun peranti pintar, dan ia agak menjengkelkan kerana kami perlu menyambung semula peranti ke rangkaian secara manual.
Seperti yang kami katakan sebelum ini, penghala WiFi AX3 ini turut hadir dengan ciri sambungan secara NFC. Pengguna hanya perlu meletakkan peranti dengan ciri NFC diaktifkan, dan mereka boleh menyambung terus ke rangkaian tanpa perlu memasukkan kata laluan.
Kami dapati bahawa hanya peranti Android dengan fungsi NFC Tap boleh mengakses fungsi ini, dan ia tidak boleh digunakan oleh peranti iPhone. Pada pendapat kami, fungsi ini sangat berguna kerana anda tidak perlu memberi kata laluan rumit kepada para pelawat lagi.
Walaupun begitu, satu “kelemahan” ciri NFC ini ialah ia akan menyambungkan peranti secara terus ke rangkaian utama, dan pengguna tidak mempunyai pilihan untuk menetapkan rangkaian yang disambungkan kepada ciri sambungan NFC tersebut, seperti rangkaian pelawat.
Satu lagi ciri berguna ialah penggunaan SSID pelawat, ataupun Guest Network. Melalui rangkaian pelawat ini, anda boleh menetapkan kelajuan internet untuk peranti yang disambungkan, dan mereka boleh mengaksesnya secara terus juga tanpa perlu menggunakan kata laluan.
Sayangnya, pengguna tidak dapat mengubahsuai tetapan had kelajuan rangkaian ini, dan penghala ini sekali lagi menggunakan kecerdasan buatan untuk mengehadkan kelajuan peranti yang disambungkan kepada rangkaian ini.
Jika anda menggunakan penghala ini didalam rumah yang besar, anda boleh membeli dua atau lebih penghala WiFi AX3 ini sebagai pelanjut rangkaian (repeater) dengan mudah.
Apabila anda telah mengaktifkan penghala utama, anda hanya perlu memasang penghala kedua di kawasan dalam lingkungan rangkaian penghala pertama, dan menekan butang “H” untuk membesarkan lingkungan rangkaian WiFi anda.
Sayangnya kami hanya diberi satu penghala Huawei WiFi AX3, dan tidak dapat menguji kualiti rangkaian ini didalam mod tersebut.
Penutup
Pada harga RM299, penghala Huawei WiFi AX3 ini sangat sesuai untuk situasi dimana anda mempunyai kelajuan internet yang pantas tetapi tidak mahu membayar harga mahal untuk penghala baru.
Setelah menguji penghala ini selama lebih kurang seminggu, boleh saya katakan bahawa penghala ini adalah untuk mereka yang duduk bersendirian atau kumpulan kecil dimana tidak banyak peranti dengan sokongan WiFi digunakan.
Dengan senario pertama, kami dapati bahawa jika peranti anda menyokong sambungan WiFi 6, anda secara teknikalnya boleh mendapatkan kelajuan internet setinggi 500-600Mbps tanpa masalah dan dengan rangkaian yang stabil.
Untuk senario kedua di kawasan pejabat pula, kelajuan internet menggunakan talian yang sama tidaklah begitu perlahan, tetapi isu peranti sering terputus sambungan adalah satu isu yang boleh dikatakan agak serius.
Jika anda sedang mencari sebuah peranti penghala WiFi dengan tanda harga mampu milik yang mampu mencapai kelajuan yang tinggi, mungkin Huawei WiFi AX3 ini adalah untuk anda.
Pro
- Tanda harga sangat berpatutan
- Mudah dipasang
- Ciri-ciri mudah diakses
- Sokongan perkongsian akses rangkaian melalui NFC
- Kelajuan tinggi boleh diperolehi melalui sambungan WiFi
Kontra
- Sambungan WiFi mudah terputus jika disambungkan ke terlalu banyak peranti
- Pilihan tetapan yang terhad
- Tiada cara untuk memadamkan ciri kecerdasan buatan