Pandang Pertama Vivo X50 Pro – Telefon Pertama Dunia Dengan Gimbal Terbina

Pandang Pertama Vivo X50 Pro – Telefon Pertama Dunia Dengan Gimbal Terbina

Diterbitkan pada July 21, 2020 oleh .

Vivo walaupun terkenal sebagai jenama yang bersaing sengit dengan Oppo, dengan kemampuan kamera yang hebat serta banyak mod kecantikan dan penuras unik. Vivo walaupun ada banyak peranti mampu milik, tetapi peranti kelas atasan mereka adalah harga premium seperti siri Vivo V, peranti mercu siri NEX dan terkini siri X. Mereka mulakan siri X dengan sokongan 5G melalui X50 dan X50 Pro untuk pasaran Malaysia. Vivo X50 Pro ini dijana dengan Snapdragon 765G yang tiba ke pasaran Malaysia secara rasmi.

Peranti ini telah tiba ke makmal Amanz sejak dua minggu lalu lagi, dan kami telah mengujinya sebagai peranti harian. Artikel ini adalah artikel pandang pertama, yang mana akan kami kongsikan pendapat awal mengenai pengalaman penggunaan peranti ini. Dari segi kamera, video seperti kemampuan gimbal, prestasi, akan kami ceritakan dalam artikel ini.


Spesifikasi & Rekaan

Vivo X50 Pro
Skrin 6.56″, AMOLED, FHD+
HDR10+, 90Hz
Pemproses Snapdragon 765G, 7nm
Cip 1×2.4 GHz Kryo 475 Prime
1×2.2 GHz Kryo 475 Gold
6×1.8 GHz Kryo 475 Silver
Cip Grafik Adreno 620
RAM 8 Gigabyte
Muatan Dalaman 256 GB UFS 2.1
Kamera Utama 48 MP, f/1.6, (utama), gimbal OIS
8 MP, f/3.4, (periskop telefoto + 5x optikal zum)
13 MP, f/2.5, (kedalaman + 2x optikal zum)
8 MP, f/2.2, 120˚, (sudut ultra lebar)
Kamera Depan 32 MP, f/2.5
Bateri 4315mAh
(Berwayar pantas 33W)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Cap jari bawak skrin optikal
Harga Jualan RM3199

Vivo X50 Pro adalah peranti premium terbaru mereka yang menggunakan skrin AMOLED bersaiz 6.56-inci dengan sokongan HDR10+, kadar segar semula 90Hz dan resolusi FHD+. Ia menggunakan skrin berlubang dan juga jenis melengkung yang sangat mirip dengan produk BBK Electronics lain seperti OnePlus 8 dan Oppo Find X2. Rekaan skrin juga adalah jenis nirbingkai dan memberikan pengalaman penggunaan yang imersif. Warna skrin juga cantik, terang dan butiran jelas kelihatan. Panel AMOLED juga adalah jenis berkualiti tinggi dan tiada isu color bending yang jelas kelihatan serta mempunyai warna hitam yang cukup gelap. Dipadankan pula dengan kadar segar semula tinggi 90Hz, ia sungguh seronok, lancar dan amat pantas. Ini adalah peranti Vivo pertama yang kami rasakan sangat lancar dan puas serta skrin yang cantik, malah lebih baik dari NEX 3.

Peranti ini dijana dengan Snapdragon 765G dan dipadankan dengan pilihan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB berasaskan UFS 2.1. Jelas sekali, pemproses ini pantas dan cukup berkuasa untuk peranti kelas pertengahan premium. Tetapi storan UFS 2.1 ini tidak padan dan memasang aplikasi, membuka aplikasi akan terasa sedikit perlahan tetapi tidak menjengkelkan. Cip grafik adalah Adreno 620 yang mana cukup baik untuk bermain permua pada tetapan yang tinggi. Sebaik sahaja kami mula menggunakan peranti ini, kami tidak dapat rasakan beza dengan peranti mercu lain – kerana ia terasa seperti peranti mercu. Bermain permua pada tetapan tinggi juga tiada masalah dan tiada isu memanas yang serius.

Tetapi, selepas menggunakan peranti ini secara berterusan – ia akan rasa lengah masa sedikit. Tetapi hanya seketika sahaja dan ia akan pulih seperti biasa selepas beberapa tatalan.

Rekaan peranti ini juga premium, menawan dan kelihatan ada kelas. Apabila berada di tangan, ia jelas terasa menarik, nipis, kemasan panel belakang matte yang kelihatan futuristik serta ada kelainan. Walaupun modul kamera berbentuk segi empat, tetapi tidak ada bonjol yang tinggi. Sisi kiri terdapat semua butang, siri kiri tiada apa-apa, atas terdapat mikrofon dan bawah adalah lokasi kekisi pembesar suara, USB-C dan slot kad SIM.

Melengkapkan spesifikasi peranti ini adalah dengan sistem kamera gimbal pertama dunia terbina dalam telefon pintar. Di belakang tetapan kuad-kamera 48 MP, f/1.6, (utama), gimbal OIS digunakan bersama-sama dengan 8 MP, f/3.4, OIS (periskop telefoto + 5x optikal zum) + 13 MP, f/2.5, (kedalaman + 2x optikal zum) dan 8 MP, f/2.2, 120˚, (sudut ultra lebar). Manakala, pada bahagian hadapan pula adalah 32 MP, f/2.5 satu lensa sahaja. Kemampuan gimbal ini dalam ujian kami terbukti lebih kurang dengan penggunaan peranti lain yang ditambat pada aksesori gimbal. Secara tidak langsung memberikan kemampuan rakaman video yang menarik dan gambar malam yang cantik.

Lain-lain spesifikasi adalah bateri nipis 4315mAh dengan sokongan pengecasan pantas 33W sahaja. Turut terbina pada peranti ini adalah NFC, Bluetooth 5.2, sistem sekuriti imbasan wajah dan pengimbas cap jari bawah skrin jenis optikal yang sangat panta.

Pengalaman Penggunaan

Menggunakan peranti ini sebagai harian adalah satu nikmat yang tidak dapat kami lupakan. Pertama, ia sangat nipis, elegan dan amat selesa di tangan. Tetapi ia agak sukar untuk kendalikan dengan satu tangan kerana sedikit licin. Peranti ini dari jauh sahaja dilihat ada kelasnya yang tersendiri dan nampak sebagai seorang yang bangsawan. Kerapkali kami gunakan peranti ini tanpa sebarang pelindung kerana bersyukur dengan rekaan yang seksi.

Bukan itu sahaja, sistem operasi yang digunakan pada peranti ini adalah Android 10 iaitu Funtouch OS 10.5. Ia adalah sistem operasi terbaik dari Vivo setakat ini, yang mana sangat lancar sangat mudah digunakan, mesra pengguna dan pertama kali mereka hadir dengan perisian yang dekat dengan Android asli. Vivo tidak kedekut dengan memberi pilihan kepada pengguna, sama ada menggunakan Google Discover atau Jovi Assistant, talam aplikasi yang ringkas dan akhirnya, tetapan yang lebih mudah difahami.

Skrin 90Hz pada peranti ini juga konsisten dan sentiasa kekal lancar dan pantas. Mungkin kerana pengoptimasian pada sistem operasi dan dipadankan dengan panel seperti ini, memberikan ilusi yang peranti kelas pertengahan turut mempunyai tahap kepantasan seperti sebuah peranti mercu.

Berikut adalah markah penanda aras yang diperoleh dari peranti ini. Ujian yang digunakan adalah melalui aplikasi AnTuTu dan Geekbench 5. Walaupun AnTuTu dikira sebagai aplikasi yang merbahaya, kami korbankan peranti kami ini untuk paparkan skor kepada anda. AnTuTu memperoleh skor sebanyak 321630, Geekbench pula adalah sebanyak 623/1884 untuk satu teras dan multi-teras. Ini adalah skor yang dijangka untuk peranti Snapdragon 765G.

Kamera

Kamera adalah perkara yang paling menakjubkan pada peranti ini, jadi jika anda rasakan peranti ini mahal – ia adalah kerana kamera peranti ini. Mana anda boleh cari telefon dengan sistem gimbal terbina? Tiada. Kemampuan kamera ini memang berada di luar kotak daripada apa yang kami jangkakan. Ujian pertama yang kami lakukan adalah ujian rakaman video. Pertama adalah rakaman kestabilan apabila berjalan di dalam pejabat. Video kedua adalah mod sinematik atau digelar sebagai mod filem, yang mana akan mengekalkan subjek dalam bingkai tidak kira jika peranti bergerak. Akhir sekali adalah sampel video zum, yang mana walaupun sudah dizum pada jarak jauh – hasilnya masih memberangsangkan.

Ya, anda akan lihat seakan ada kesan tersekat-sekat di dalam video. Ini mungkin kerana teknik pasca prosesnya. Tetapi dari segi warna, kualiti dan kestabilan ia berada di kategori yang luar biasa.

Hasil gambar juga memuaskan. Berikut adalah beberapa sampel yang pada kami cantik, menarik dan hebat. Gambar mod gelap adalah cantik, jelas dan penuh dengan butiran dan boleh dikatakan tiada hingar. Warna juga tajam, cantik dan kelihatan hidup. Kemampuan zum juga memberikan hasil yang mengejutkan dari 0.6 kr 1.0 ke 2.0 ke 5.0 dan secara digital sehingga 60 barulah kelihatan kabur, tidak stabil dan tidak cantik. Gambar potret juga dilihat menarik, tetapi masih tidak kemas seperti Google Pixel dan jelas kelihatan kesan kabur hanyalah kesan digital dan tidak realistik. Kamera swafoto juga kekal seperti mana kebanyakan peranti Vivo, iaitu latar belakang yang tidak dipelihara.

Kesimpulan

Buat masa ini, ini adalah apa yang kami boleh kongsi. Beri masa sedikit lagi untuk kami menguji kemampuan kamera, bateri dan prestasi sebelum ulasan penuh yang lebih mendalam kami terbitkan. Dalam penggunaan singkat ini, apa yang boleh kami katakan adalah – peranti ini adalah penanda aras telefon pintar untuk fotografi. Hasil kamera peranti dari jenama Vivo ini memang tidak disangka, rekaan anggun, sistem operasi lain daripada lain, skrin cantik dan penggunaan yang puas.

Vivo X50 Pro ini dijual pada harga RM3,199 untuk pasaran tempatan. Ya, mahal – tetapi kamera yang anda membayar untuk kemampuan kamera yang boleh dikatakan hampir ke tahap yang profesional.


TIPS & ULASAN