Masihkah anda ingat dengan .beat oleh Swatch? Sekiranya tidak kami tidak menyalahkan anda kerana usaha murni oleh Swatch untuk menyeragamkan waktu untuk Internet ini tidak diingati kerana gagal mendapat sambutan ramai. Seperti kebanyakan idea dot.com pra-milenium, .beat ialah yang menarik tetapi kurang praktikal.
Diperkenalkan pada tahun 1998 oleh pengeluar jam tangan analog Swatch yang cukup terkemuka pada waktu tersebut. Swatch adalah jenama yang popular di kalangan anak muda kerana mempunyai rekaan yang ranggi, berwarna warni dan dijual pada harga yang mampu milik.
Selain dikenali sebagai .beat, nama lain yang digunakan untuk pemasarannya ialah Swatch Internet Time. Jika waktu sekarang ditetapkan kepada Greenwich Mean Time yang terletak di United Kingodm, waktu .beat ditetapkan ke Biel Meantime (BMT) dengan Biel ialah nama bandar terletaknya ibu pejabat Swatch di Switzerland.
Di dalam sistem .Swatch Internet Time, satu hari dibahagikan kepada 1000 beats dengan waktu ditetapkan semula kepada sifar jam 12 tengah malam. Ini bermakna sejam adalah bersamaan 41.6 .beat dan 1 minit pula bersamaan dengan 0.694 beat. Selari dengan pengenalan Swatch Internet Time, Swatch melancarkan beberapa jam tangan yang menyokong paparan waktu internet ini.
Dua waktu dipaparkan. Waktu standard dipaparkan pada bahagian atas muka jam digital dan waktu .beat pula di bahagian bawah dengan tanda @ di hadapan bagi menguatkan lagi hubungannya dengan internet yang masih lagi cuba bertatih pada waktu tersebut.
Mengapa Swatch Internet Time diwujudkan? Bagi memudahkan insan yang duduk di seluruh dunia menetapkan waktu untuk bertemu di atas talian. Mereka semua boleh bersetuju untuk bertemu di atas talian pada jam @420 .beat misalnya. Tanpa mengira kedudukan geografi, seorang individu di Jepun boleh menetapkan masa dengan individu di Cape Town, London dan Los Angeles.
Pada awalnya Swatch Internet Time mendapat sokongan dari CNN, aplikasi ICQ dan permainan konsol atas talian Phantasy Star Online. Penyeragaman waktu Internet diharap dapat merapatkan lagi pengguna global. Kali terakhir jam Swatch dilancarkan dengan sokongan .beat ialah sekitar 2003 dengan kerjasama ICQ.
Tetapi kita kini di tahun 2020 dan tidak ada seorangpun di luar sana yang menggunakan waktu Internet .beat dalam kehidupan seharian. Ianya gagal kerana memerlukan anda membeli sebuah jam khas yang berharga $80 (bersamaan dengan RM540 mengikut nilai semasa) untuk mengetahui waktu yang tepat.
Memperkenalkan sebuah waktu Internet baharu juga sukar diterima sedangkan dunia sudah beratus tahun menggunakan waktu GMT yang sebenarnya tidaklah terlalu rumit. Dengan penggunaan Internet yang semakin berkembang, mencari waktu di pelbagai lokasi dunia juga semudah melakukan carian menggunakan enjin carian kegemaran. Usaha Swatch mungkin gagal tetapi laman untuk Swatch Internet Time masih lagi dipaparkan untuk rujukan generasi masa hadapan.