Vaksin Covid-19 Dari Universiti Oxford Menunjukkan Keputusan Yang Memberangsangkan

Vaksin Covid-19 Dari Universiti Oxford Menunjukkan Keputusan Yang Memberangsangkan

Diterbitkan pada July 21, 2020 oleh .

Dunia tidak akan pulih dari pandemik Covid-19 selagi vaksin tidak dibangunkan. Oleh itu sejak wabak dikesan di China pada Januari lalu, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mencari vaksin yang setakat ini telah menjangkiti lebih 14 juta individu dan mengorbankan 600,000 pesakit di peringkat global. Cahaya di hujung terowong kita mula dilihat selepas Universiti Oxford menerbitkan laporan ujian vaksin yang sedang dibangunkan mereka dalam jurnal Lancet.

Universiti Oxford membangunkan vaksin ChAdOx1 nCoV-19 atau nama lebih pendeknya AZD1222. Ujian ke atas 1000 individu telah dilakukan sejak April yang lalu. Selepas sebulan suntikan diberikan, antibodi dan sel-T ditemui pada 91% tubuh peserta yang sama seperti yang ditemui pada tubuh pesakit Covid-19 yang telahpun sembuh.

Dos tambahan yang diberikan selepas dua bulan meningkatkan lagi jumlah antibodi dan sel-T pada tubuh peserta ujian. Dengan kewujudan antibodi dan sel-T ini, penyelidik berharap ia akan membolehkan tubuh manusia menentang virus Covid-19 sekiranya ia menjangkiti tubuh.

Kesan jangka pendek yang dikesan ialah 70% peserta melaporkan sakit kepala dan kepenatan selepas menerima suntikan. Tetapi kesan ini akan hilang dalam masa 48 jam dengan pemberian parasetamol sahaja. Dengan kejayaan fasa awal ini, penyelidik akan mengembangkan ujian kepada puluhan ribu peserta UK, Amerika Syarikat, Afrika Selatan dan Brazil.

Walaupun keputusan awal adalah memberangsangkan, masih terlalu awal untuk mengatakan vaksin Covid-19 telah ditemui. Ujian dengan tempoh lebih lama perlu dilakukan untuk melihat sama ada antibodi dan sel-T yang mampu menentang virus akan kekal dalam tubuh seperti vaksin-vaksin lain yang digunakan sekarang. Kesan jangka panjang juga perlu dikaji supaya tidak membahayakan berbilion penduduk bumi kelak sekiranya ia benar adalah vaksin yang dinantikan.



Paling Popular