Cari @ Amanz

Pada tahun lalu, Microsoft mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan peranti dwi-skrin Microsoft Surface Neo yang akan dikuasakan oleh sistem operasi Microsoft Windows 10X, iaitu sebuah sistem operasi yang dibina khusus untuk peranti dwi-skrin.

Sayangnya, sejak wabak pandemik COVID-19 melanda dunia, Microsoft bukan sahaja terpaksa menunda ketibaan peranti Surface Neo tersebut, tetapi juga mengubah arah pembangunan sistem operasi Windows 10X untuk peranti skrin tunggal seperti tablet dan komputer-komputer yang tidak memerlukan kemampuan penuh Windows 10.

Menurut laporan ZDNet, Microsoft akan memperlihatkan sistem operasi Windows 10X dan juga peranti-peranti yang akan menggunakannya sekitar suku kedua ataupun musim bunga tahun 2021 kelak.

Laporan tersebut juga mengatakan bahawa Microsoft hanya akan mula membangunkan sistem operasi untuk peranti Surface Neo selepas Windows 10X dilancarkan. Microsoft dijangka akan memakan masa setahun untuk projek tersebut, dan Surface Neo akan diperkenalkan pada 2022 kelak.

Sehubungan dengan itu, versi awal Windows 10X tidak akan tiba dengan sokongan untuk perisian Win32, dan hanya akan menggunakan Universal Web Apps untuk sokongan perisian awal.

Terdapat juga ura-ura yang mengatakan bahawa Microsoft akan cuba untuk memasarkan Windows 10X sebagai sebuah sistem operasi utama disamping Windows 10.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd