Redmi AirDots adalah TWS yang meraih populariti penjualan TWS pada harga murah. Pada awalnya pasaran di Malaysia menjual aksesori audio ini mencecah lebih RM100. Kini generasi lama AirDots ini boleh dibeli pada harga bawah RM60. Redmi ada melancarkan versi kemaskini sebelum ini, iaitu Redmi AirDots S yang mana membaiki masalah tambatan.
Terkini, mereka hadir dengan generasi kedua pula – Redmi AirDots 2. Secara keseluruhan, ia sama sahaja dengan Redmi AirDots S cuma mereka mendakwa ia mempunyai kualiti audio yang sedikit lebih baik. Harga jualan juga adalah sama, iaitu RMB99 iaitu sekitar RM60. Cuma pembeli di China yang terawal boleh membeli pada harga RMB79, iaitu sekitar RM48.
Redmi AirDots 2 menggunakan cip Bluetooth 5.0 dan mempunyai pemacu audio 7.2mm dan menyokong pengurangan hingar persekitaran yang mana menjadikan panggilan telefon lebih jelas. Bateri juga masih sama, iaitu bertahan sehingga 12 jam dengan pod pengecasan dan 4 jam tanpa pod pengecasan. Kawalan 2-kali tekan, 1-kali tekan dan 1-kali tekan beberapa saat turut dikekalkan untuk seru pembantu digital, jeda/main media atau menjawab panggilan telefon dan mematikan panggilan telefon.