Mendengar laman web atau peranti digodam adalah perkara biasa sehingga kita menjadi acuh tak acuh dengan sekuriti di atas talian. Tetapi menurut laporan Xuanwu Lab, kerentanan pada sekuriti firmware pengecas pantas boleh menyebabkan ia digodam sehingga mengakibatkan peranti pintar terbakar ketika dicas.
Xuanwu Lab yang merupakan anak syarikat Tencent berkata dalam kajian mereka ke atas 35 pengecas pantas dari pelbagai pengeluar, 18 mempunyai kerentanan. Akibat kerentanan ini pengecas boleh digodam menggunakan teknik yang diberi nama BadPower. Perisian yang sepatutnya mengawal sistem elektronik pengecas peranti boleh diubahsuai untuk memberikan arus yang lebih tinggi. Peranti kemudiannya mengalami kerosakan litar, memanas melampau atau dalam kes lebih serius terbakar.
Berita baik di sini ialah untuk melakukan godaman ini, BadPower perlu disambungkan terus kepada pengecas untuk melakukan perubahan pada firmware telebih dahulu. Godaman dari jarak jauh setakat ini tidak boleh dilakukan. Sedikit merisaukan Xuanwu Lab mendapati 18 pengecas ini tidak boleh dikemaskini firmware untuk menampal kerentanan yang wujud. Atas sebab keselamatan, jenama pengecas dengan kerentanan ini tidak didedahkan.