Paparan pintar adalah peranti sama seperti pembesar suara pintar, tetapi dengan skrin terbina. Ia membolehkan pengguna menggunakan arahan suara untuk menyeru pembantu digital untuk melakukan tugas-tugas asas seperti menghidupkan lampu, memainkan muzik, melihat jadual, trafik ke kerja/rumah, senarai barang yang patut dibeli dan banyak lagi. Sesetengah paparan pintar turut membolehkan pengguna membuat panggilan telefon. Tetapi ia terhad untuk memainkan video dari platform penstriman, kecuali beberapa platform terpilih seperti YouTube.
Terkini, pengguna paparan pintar dari Google iaitu Nest Hub dan Nest Hub Max akhirnya boleh menstrim video dari Netflix. Jika sebelum ini terhad kepada YouTube, Hulu dan Disney+ – akhirnya pengguna boleh terus menyeru Google “Hey Google, play One Punch Man from Netflix” atau terus arahkan memainkan siri TV/ filem dengan menyebut judulnya sahaja. Selama ini, ia bukan isu dari Google tetapi adalah Netflix yang tidak membenarkannya, akhirnya mereka berubah fikiran dan tawarkan akses ini kepada pengguna.
Walau bagaimanapun, sokongan ini dilihat terhad kepada paparan pintar dari Google sahaja kerana ia menggunakan sistem operasi berasaskan Chromecast. Jadi tidak pasti sama ada paparan pintar dari jenama Lenovo atau JBL boleh melakukan sedemikian.