Cari @ Amanz

Microsoft Office adalah pakej perisian membuat pelbagai dokumen, pembentangan, helaian lejar dan banyak lagi. Ia boleh dikatakan perisian paling popular digunakan pada pelbagai platform. Tahun demi tahun, Microsoft kerap membuat perubahan rekaan antaramuka agar selari dengan trend terkini dan memudahkan pengguna.

Tetapi satu sahaja yang sehingga hari ini kekal, iaitu antaramuka riben mereka atau digelar sebagai Ribbon UI. Terkini, Microsoft telah memperlihatkan konsep rekaan Fluent Design baru bagi perisian Microsoft Office untuk komputer dan peranti mudah alih. Perubahan paling besar adalah kemampuan mengubah lokasi toolbar mengikut citarasa dan keselesaan pengguna.

Melalui perubahan ini, pengguna turut boleh lebih fokus kepada kerja dan mempunyai lebih banyak ruang untuk bekerja. Selain daripada fokus, rekaan baru ini juga akan memudahkan pengguna melakukan kerja-kerja pada mana-mana platform dengan lebih selesa. Ribbon UI yang digunakan sejak 2007 ini akhirnya melalui perubahan drastik.

Menurut Jon Friedman, selaku naib pengerusi bahahian rekaan dan penyelidikan – perubahan ini akan berlaku dalam tempoh satu hingga dua tahun dan tidak pasti lagi platform mana akan melalui perubahan ini. Buat masa ini, Microsoft masih lagi dalam proses proses kajian untuk mengenalpasti perubahan bagaimana yang paling sesuai.

Sumber: The Verge & Medium

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd