Asus hari ini telah memperkenalkan telefon permua mereka terbaru, iaitu ASUS ROG Phone 3. Ia meneruskan siri ROG Phone dengan penawaran spesifikasi tinggi, selain pengoptimasian khusus untuk permua.
Asus ROG phone 3 hadir dengan cip Snapdragon 865 Plus, dilengkapi sokongan rangkaian 5G, serta turut menyertakan sokongan Qualcomm Snapdragon Elite Gaming untuk prestasi permua yang lancar.
Telefon pintar ini hadir dengan skrin 6.59-inci AMOLED dengan kadar segar semula 144Hz, serta dikatakan menawarkan kejituan warna Delta E. Ia turut menyertakan sokongan paparan HDR10+ bersama dengannya.
Telefon pintar ini turut menyertakan memori 16GB RAM LPDDR5, dan storan 512GB UFS 3.1. Dengan penawaran spesifikasi ini, ia terus memastikan penggunaan yang lancar ketika menjalankan pelbagai tugasan, termasuk memainkan permua.
Pada bahagian bateri, ROG Phone 3 hadir dengan bateri 6000mAh untuk penggunaan tempoh masa lama. Untuk rakaman gambar, ia menyertakan kamera belakang gabungan 64MP + 13MP (ultra-lebar) + 5MP (makro), selain rakaman swafoto 24-megapixel.
Asus ROG Phone 3 menjalankan Android 10 berasaskan antaramuka ROG UI, serta menawarkan sejumlah pengoptimasian khusus untuk permua – termasuk sensor ultrasonik untuk AirTrigger 3.
Asus Malaysia mengatakan dua variasi ROG Phone 3 akan memasuki pasaran Malaysia pada pertengahan September 2020 ini. Ia bakal hadir dengan pilihan memori 12GB RAM dan juga 16GB RAM. Harga jualannya masih belum diumumkan lagi – tetapi dijangka tidak jauh beza dengan ROG Phone 2 sebelum ini. Pada tahun lepas, ROG Phone 2 telah ditawarkan pada harga bermula RM3499 untuk model 12GB RAM.