Oppo Reno adalah siri peranti baru dari Oppo yang mempunyai fokus tersendiri pada setiap negara berbeza. Setiap model Oppo Reno dengan nama yang sama mempunyai spesifikasi berbeza dari kamera sehingga ke cip pemprosesan mengikut pasaran. Di China kebiasannya akan menerima model yang lebih berkuasa, manakala pasaran seperti di Malaysia adalah sedikit lebih rendah tetapi dengan ada fokusnya yang tersendiri.
Terkini, kami berpeluang memegang Oppo Reno4 versi biasa (bukan Pro) yang bakal dijual di Malaysia tidak lama lagi. Walau bagaimanapun spesifikasi yang didedahkan kepada kami adalah terhad dan butiran lanjut mengenai spesifikasi penuh akan diumumkan kelak. Dalam artikel ini, kami akan dedahkan kepada anda rekaan peranti ini serta serba sedikit kemampuan kameranya. Dari segi rekaan, apa yang kami dapat sahkan adalah ia sama sahaja dengan variasi yang dilancarkan di China bulan lalu.
Pada panel belakang, terdapat modul kamera bujur memanjang di bahagian sisi peranti dengan tiga bonggol untuk lensa berbeza berserta dengan satu lensa tambahan yang rata. Model yang diberikan pada kami ini berwarna Dream Mirror Black (nama untuk pasaran China), yang mana ada adalah warna cerun hitam + kelabu + perak dengan kilauan huruh O dan P dari logo Oppo bergabung. Kemasan yang digunakan adalah jenis licin, berkilat dan mudah menangkap kotoran cap jari. Ini adalah satu warna yang menarik dan dilihat juga merupakan trend, seperti peranti Huawei Nova 7 yang ada logo Nova berulangan di belakang peranti.
Pada sisi kanan terdapat butang kuasa yang turut berfungsi sebagai butang menyeru Google Assistant. Bukan itu sahaja, butang ini juga menggunakan rekaan yang selari dengan siri Oppo Reno lain – iaitu mempunyai warna hijau cair yang terang. Di sisi kiri pula adalah butang aras suara bersama-sama dengan slot kad SIM, di atas adalah mikrofon sahaja dan akhir sekali di bawah – terdapat mikrofon, kekisi pembesar suara, port USB-C dan bicu audio 3.5mm. Ya, peranti baru tahun 2020 masih mempunyai port klasik untuk audio.
Beralih ke bahagian hadapan, peranti ini dilihat menggunakan rekaan skrin dwi-lubang yang rata dari panel AMOLED. Saiz yang digunakan adalah 6.4-inci dengan nisbah skrin-ke-badan 90.7%. Rekaan skrin AMOLED yang rata ini menjadi trend di kalangan peranti mercu seperti Samsung Galaxy S20 dan Oppo membawakannya pada peranti kelas pertengahan mereka. Berat keseluruhan peranti ini adalah 165g yang mana amat ringan dan selesa di tangan serta nipis dengan tebal 7.7mm sahaja. Tidak dinafikan rekaan seperti ini adalah satu rekaan yang klise, tetapi Oppo membawakan satu identiti tersendiri yang memudahkan pengguna membezakan antara peranti pesaing.
Untuk kamera, mod yang dapat kami uji serta dedahkan kepada anda semua adalah AI Color Portrait – yang mana merupakan satu mod baru untuk mengambil gambar potret. Melalui mod ini, ia mampu menjadikan latar belakang subjek hitam dan putih dengan kesan kabur – manakala subjek dikekalkan dengan warna. Berikut adalah sampel-sampel gambar yang sempat kami tangkap.
Oppo Reno4 ini akan hadir ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Seperti yang kami katakan tadi, tempoh penggunaan kami adalah terhad dan banyak tidak dapat kami uji – serta Oppo akan mendedahkan lagi spesifikasi serta kemampuan kamera peranti ini dalam masa terdekat. Untuk harga jualan, masih tiada pengumuman rasmi lagi – tetapi wakil Oppo Malaysia katakan anda boleh harapkan yang harganya adalah sekitar bawah RM2000.