Carian
Kamera Utama Redmi K30 Pro Zoom Edition Rangkul Sebanyak 120 Mata Dalam Ujian DxOMark
July 23, 2020 Amy Maizuraa

Redmi K30 Pro Zoom Edition dilancarkan sekitar Mac lalu sebagai salah sebuah peranti dengan sokongan 5G mampu milik. Selain itu, peranti ini juga membawakan sejumlah penawaran lain yang menarik termasuklah sokongan kamera utama yang serba berkebolehan. Tetapi, bagaimana dengan prestasinya dalam dunia nyata?

Terkini, DxOMark berkongsi laporan penuh mengenai prestasi kamera utamanya. Memetik laporan dikongsi, Redmi K30 Pro Zoom Edition dilihat berjaya merangkul skor sebanyak 120 mata secara keseluruhan – dengan catatan terkumpul sebanyak 129 mata untuk kemampuan fotografi dan 101 mata pula untuk kemampuan videografi.

Dengan markah yang dicatakan oleh Redmi K30 Pro Zoom Edition ini, ia berjaya menewaskan OnePlus 8 Pro, Samsung Galaxy S20+ dan iPhone 11 Pro Max. Pujian diberikan kepada kemampuan kamera menghasilkan gambar dengan perincian subjek yang tepat pada pencahayaan yang baik, sokongan autofokus yang pantas serta tepat, sistem imbangan putih yang seimbang dan keupayaan mengawal hingar yang minima.

Seterusnya, kritikan pula diberikan pada julat dinamik yang terhad, kegagalan kamera memberi perincian yang baik pada pencahayaan rendah dengan hingar yang teruk pada tangkapan ultra lebar dan peralihan warna kurang memuaskan.

Untuk prestasi video pula, boleh dikatakan ia berupaya memberi pendedahan yang baik dengan penstabilan pada tahap memuaskan. Namun begitu, julat dinamik dikatakan agak terhad dalam beberapa keadaan.

Komen