Cari @ Amanz

Masihkah anda ingat dengan skop raifal SMASH 2000 yang merupakan aimbot permainan video untuk dunia sebenar? Smart Shooter yang membangunkan SMASH 2000 telah memperlihatkan senjata terkini mereka yang merealisasikan pula turet mesingan yang ditemui di dalam permainan video seperti Half Life 2 dan Call of Duty Mobile.

SMASH HOPPER ialah sistem yang terdiri daripada sebuah raifal, tripod dan sistem bidikan automatik SMASH 2000 yang dikemaskini. Menerusi sistem ini, sebuah SMASH HOPPER boleh diarahkan untuk mengawal sesebuah kawasan dari diceroboh. Di dalam mod automatik, ia boleh menembak musuh yang ditemui tanpa campur tangan manusia. Sepanjang masa seorang pengawal boleh melihat apa yang dilihat menerusi skop menggunakan sebuah skrin.

Sekiranya perlu, pengendali manusia boleh mengambil alih SMASH HOPPER dan mengawalnya dari jarak jauh. Seperti sistem SMASH 2000, SMASH HOPPER menjanjikan bidikan yang tepat setiap kali picu ditarik.

Dengan berat sekitar 15 kilogram, ia lebih ringan berbanding sistem ATGM FGM-148 Javelin yang digunakan tentera infantri sekarang. Sistem senjata yang disokong ialah dari keluarga M16, M4, AR10 dan SR10. Pihak Smart Shooter Ltd kini sedang membangunkan sistem yang lebih kecil dan ringan sekiranya turet ini masih terlalu berat.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd