Cari @ Amanz

Kontroversi mengenai dokumentari Al Jazeera mengenai layanan pendatang tanpa izin di Malaysia menjadi isu di negara kita sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Al Jazeera kini akan didakwa kerana didapati tidak mendapatkan lesen daripada FINAS sebelum melakukan penggambaran. Tetapi menerusi sesi soal jawab di Parlimen pagi ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan kesemua jenis penggambaran filem di dalam negara perlu mendapatkan lesen daripada FINAS terlebih dahulu.

Menurut beliau yang menjawab pertanyaan wakil dari Kluang Wong Shu Qi, mengikut Akta Perbadanan Filem Nasional Malaysia 1981 – kesemua jenis penggambaran filem perlu mendapatkan lesen dari FINAS walaupun untuk tontonan di media sosial dan penggambaran bukan dari media arus perdana. Di dalam perkara kedua akta tersebut, filem ditakrifkan sebagai filem cerita, filem pendek, filem kecil iklan, dokumentari, treler, dan sebarang jenis rakaman imej bergerak berbunyi ataupun tidak menggunakan pita video atau ceper video.

Apabila disoal sama ada permohonan lesen FINAS merangkumi penggunaan di media sosial seperti Instagram Live dan TikTok, Datuk Saifuddin menjawab semua perkara di atas tertakluk di bawah akta yang sama. Dengan kata lain kesemua penerbit filem perlu memohon lesen FINAS sebelum melakukan penggambaran mereka.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd