Cari @ Amanz

Apple sering mengatakan bahawa peranti iPhone mereka sangat sukar untuk digodam, dan walaupun ini betul, ia tidak bermakna bahawa peranti-peranti tersebut tidak mempunyai isu-isu keselamatannya sendiri.

Apple mempunyai program pencarian kerentanan mereka sendiri, tetapi untuk memastikan peranti-peranti iPhone mereka sentiasa selamat, mereka akan mula memberi peranti “mudah digodam” untuk penyelidik-penyelidik keselamatan yang sentiasa cuba untuk mencari kerentanan dalam peranti dan sistem operasi iOS.

Peranti ini, yang dinamakan iPhone Security Research Device membolehkan penyelidik untuk mengakses bahagian-bahagian sistem operasi iOS dengan lebih mudah untuk mencari sebarang kerentanan yang tidak boleh diakses sebelum ini.

Menurut Apple, peranti ini tidak boleh dibawa keluar daripada makmal penyelidikan, dan sebarang kerentanan yang ditemui mesti dilaporkan kepada pihak Apple terlebih dahulu untuk diperbaiki sebelum ia boleh diumumkan secara terbuka.

Program Security Research Device ini akan dijalankan secara selari dengan program pencarian kerentanan Apple sedia ada, dimana syarikat tersebut akan membayar sesiapa yang menemui kerentanan tersebut sehingga $1 juta bergantung kepada betapa seriusnya isu yang ditemui.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd